PETALING JAYA: BMI, sebuah syarikat Fitch Solutions, mengunjurkan peningkatan sebanyak lima peratus tahun ke tahun bagi perbelanjaan isi rumah Malaysia pada tahun ini sebelum terus mengukuh menjelang 2024.
Firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya berkata, prestasi berkenaan didorong oleh pemulihan ekonomi yang dipacu oleh pertumbuhan perbelanjaan sebenar pengguna yang lebih kukuh.
Menurut BMI, inflasi yang mereda juga bakal memberi kesan kepada prospek perbelanjaan pengguna dalam negara sepanjang separuh kedua 2023 (2H2023).
“Prospek perbelanjaan pengguna kami bagi 2024 dijangka akan meneruskan pertumbuhan yang stabil dengan perbelanjaan isi rumah sebenar akan meningkat lima peratus tahun ke tahun sepanjang 2024, kepada RM910 bilion berdasarkan harga 2010.
“Tahap keyakinan pengguna juga secara amnya stabil yang memaparkan persepsi pengguna lebih positif walaupun terdapat tekanan inflasi bagi komoditi tertentu seperti makanan dan bahan api yang memberi kesan kepada isu rumah berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya.
BMI berkata, data terkini menunjukkan bahawa keyakinan pengguna pada suku pertama 2023 berada pada purata 99.2, jatuh daripada 105.3 pada suku keempat 2022 apabila kesan pandemik semakin berkurangan.
Jelasnya lagi, data jualan runcit terkini juga perlahan sejak Jun tahun lalu, namun masih kekal positif dan tinggi pada kadar 12.9 peratus tahun ke tahun pada April 2023.
“Kelembapan itu mungkin disebabkan oleh peningkatan pertumbuhan yang semakin pudar daripada kesan asas dan permintaan terpendam daripada penarikan sekatan berkaitan Covid-19,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai prestasi ringgit, BMI menjangkakan mata wang tempatan itu bakal mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), daripada RM4.50 tahun ini kepada RM4.40 pada 2024.
“Malaysia akan terus bergantung kepada import dalam menampung permintaan tempatan yang memberi kesan lebih besar kepada pertumbuhan perbelanjaan pengguna apabila import lebih murah.
“Kami yakin persekitaran sedemikian akan menjadikan perbelanjaan pengguna bagi separuh kedua 2023 dan awal 2024 kekal stabil,” katanya. – UTUSAN










