ETALING JAYA: Kumpulan Ambank memberikan kemudahan pembiayaan hijau bernilai RM130 juta kepada Persada Mentari Sdn. Bhd. (PMSB) untuk memudahkan pembangunan Arica @ Pulau Andaman di Pulau Pinang serta projek pada masa hadapan di pulau itu.
PMSB adalah syarikat tujuan khusus (SPV) yang ditubuhkan oleh Tanjung Pinang Development Sdn. Bhd., anak syarikat Eastern & Oriental Berhad (E&O) dan KWEST Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan).
Syarikat tersebut merupakan pemaju projek Pulau Andaman, berkonsepkan keunikan kehidupan mampan, ketersambungan yang sangat baik serta landskap yang subur.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata, pihaknya menyokong PMSB dalam menyediakan kemudahan pembiayaan hijau untuk projek mesra alam itu.
“Kami percaya melalui perkongsian ini, kita boleh membuat perubahan yang nyata bukan sahaja untuk memberi kesan positif kepada alam sekitar tetapi juga untuk mencipta masa depan yang lebih cerah untuk generasi akan datang.
“Usaha ini menunjukkan komitmen kami dalam mempromosi dan mengoptimumkan pembiayaan mampan dan berkembang bersama PMSB dalam inisiatif mereka ke arah ekonomi yang mampan dan berdaya tahan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Projek tersebut telah memenangi Pensijilan Sementara Platinum GreenRE pada tahun ini.
Pengerusi Eksekutif E&O, Datuk Tee Eng Ho pula berkata, Arica E&O ialah projek kediaman dengan perkhidmatan kedua yang dibangunkan selepas kejayaan pembangunan kediaman pertamanya The Meg.
Katanya, direka untuk memenuhi piawaian Pensijilan Pembangunan Hijau, pembangunan ini sejajar dengan prinsip kelestarian dan turut diiktiraf dengan Pensijilan Sementara Platinum GreenRE dibawah kategori kediaman oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA).
“Sehubungan dengan itu, kemudahan pembiayaan hijau yang ditawarkan oleh AmBank adalah cerminan komitmen kami ke arah pembangunan lestari dan di masa yang sama menggunakan inisiatif teknologi bangunan hijau bagi mencapai kualiti pembinaan yang lestari dan mesra alam.
“Kemudahan ini datang tepat pada masanya dan kami yakin Arica berada di landasan untuk disiapkan pada penghujung 2026,” ujarnya.
Selain membiayai projek itu, AmBank juga akan menyediakan jumlah had pembiayaan akhir bernilai RM77 juta untuk unit kediaman. – UTUSAN










