Aliran keluar pelabur asing RM359.9 juta minggu lalu

Aliran keluar pelabur asing RM359.9 juta minggu lalu

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jualan bersih pelabur asing di Bursa Malaysia berlanjutan kepada minggu ke-11 berturut-turut dengan aliran keluar berjumlah RM359.9 juta pada minggu lalu berbanding RM240 juta minggu sebelumnya.

Menurut MIDF Research, pelabur asing telah menjadi penjual selama 20 daripada 26 minggu tahun ini, mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM4.19 bilion.

“Tiga sektor teratas yang mencatatkan aliran masuk bersih pelabur asing adalah pembinaan (RM71.9 juta), hartanah (RM16.4 juta) serta pengangkutan dan logistik (RM6.2 juta).

“Manakala tiga sektor ter­atas dengan aliran keluar bersih mereka adalah perkhidmatan kewangan (RM136.5 juta), produk dan perkhidmatan perindustrian (RM86 juta) dan teknologi (RM72.9 juta),” kata­nya dalam nota kajian.

Ujarnya, pelabur institusi tempatan pula kekal sebagai pembeli bersih untuk minggu kelima berturut-turut, menca­tatkan aliran masuk sebanyak RM278.3 juta minggu lalu.

Setakat ini, mereka telah menjadi pembeli bersih ekuiti domestik selama 20 daripada 26 minggu, dengan jumlah ali­ran masuk bernilai RM3.73 bili­on.

Pelabur runcit tempatan telah menjadi pembeli bersih selama 14 daripada 26 minggu setakat ini, dengan aliran masuk berjumlah RM463.2 juta.

Dari segi pergerakan pe­labur, nilai purata dagangan harian (ADTV) bagi pelabur runcit dan pelabur institusi tempatan masing-masing menurun sebanyak 2.0 peratus dan 7.3 peratus, namun dalam kalangan pelabur asing mening­kat 3.7 peratus.

Sementara itu, pasaran ekuiti Asia menerima aliran masuk asing­ bersih untuk bulan ke­dua berturut-turut pada Jun 2023 pada kadar AS$4.34 bilion (RM20.25 bilion).

“Sebahagian besar ali­ran masuk diterima oleh India sebanyak AS$5.74 bilion (RM26.78 bilion), diikuti oleh Taiwan (AS$625 juta/RM2.9 bilion) dan Filipina (AS$97.4 juta/RM454.4 juta), manakala empat lagi negara merekodkan aliran keluar.

“Bursa Malaysia menutup Jun 2023 dengan sebulan lagi aliran keluar asing bersih seba­nyak RM1.35 bilion, hampir dua kali ganda jumlah yang direkodkan pada Mei lalu.

“Ini adalah bulan ke-10 berturut-turut aliran keluar bersih asing dari Malaysia. Pada bulan tersebut, sektor perkhidmatan kewangan terus mencatat aliran keluar asing bersih tertinggi sebanyak RM407.5 juta.

“Ini disebabkan terutamanya oleh jualan bersih saham bank termasuk Public Bank (RM238.7 juta), Kumpulan CIMB (RM159.8 juta) dan Hong Leong Bank (RM93.1 juta).

“Ia diikuti oleh produk dan perkhidmatan perindustrian (RM285.5 juta), sektor produk dan perkhidmatan pengguna (RM261.3 juta),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN