Usahawan Perak digalak daftar perniagaan di pengkalan data SME

Usahawan Perak digalak daftar perniagaan di pengkalan data SME

SALBIAH Mohamed (tengah) menyerahkan bantuan Pembiayaan Mudah Jaya kepada usahawan sempena Jelajah Hari Usahawan Perak 2023 di Kamunting, Taiping. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Usahawan di negeri ini disaran supaya mendaftarkan perniagaan mereka di pangkalan data perusahaan kecil dan sederhana (PKS) atau SME Data Base bagi memudahkan kerajaan negeri mengenal pasti bentuk bantuan yang diperlukan oleh golongan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan dan operasi negeri, Salbiah Mohamed berkata, pendaftaran itu diperlukan agar kerajaan negeri dapat mengenal pasti maklumat dan membimbing serta menyalurkan bantuan yang diperlukan.

“Apabila kita ada data yang lengkap, kita akan tahu berapa ramai usahawan yang perlukan bimbingan keusahawanan, bantuan geran pinjaman dan sebagainya.

“Dengan data itu juga kita dapat selaraskan dan memberi tumpuan kepada mereka sehingga kita dapat melahirkan lebih ramai usahawan ke pasaran eksport,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis  Perasmian Program Jelajah Hari Usahawan Perak 2023 Daerah Larut Matang Selama di Dewan Majlis Perbandaran Taiping (MPT)Kamunting di sini, semalam.

Menurutnya, Perak menyasarkan 10 usahawan terdiri daripada pelbagai kategori iaitu kategori makanan, perkhidmatan dan lain -lain, untuk memasuki pasaran eksport pada tahun ini.

“Salah satu usahawan yang sering kita bawa dalam daerah-daerah ialah seorang usahawan yang menyediakan perkhidmatan kedai cermin mata ,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri turut menyediakan Geran Gerak pada tahun ini iaitu lebih kepada bantuan peralatan termasuk menyediakan platform E-post kepada usahawan-usahawan yang memerlukannya.

Kata beliau, kerajaan negeri membantu dari segi geran sebanyak RM2,000 yang melibatkan peruntukan sebanyak RM1.35 juta.

“Untuk cawangan Larut sahaja, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menyediakan bantuan sebanyak RM18 juta dan itu tidak termasuk bantuan daripada TEKUN, Mara dan pelbagai agensi lain.

“Ini menunjukkan sifat kesungguhan kerajaan negeri dalam membantu para usahawan di negeri ini. Kerajaan negeri juga memberi fokus kepada usahawan-usahawan wanita dan akan bekerjasama dengan Kementerian Multimedia dan Komunikasi untuk mengadakan program latihan keusahawanan khusus  untuk usahawan wanita di Perak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN