Trafik penumpang udara meningkat 123.4% suku pertama 2023

Trafik penumpang udara meningkat 123.4 peratus suku pertama 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sektor penerbangan Malaysia menunjukkan pemulihan pesat dengan trafik penumpang udara meningkat sebanyak 123.4 peratus kepada 19.4 juta tahun ke tahun pada suku pertama 2023, menurut Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

Dalam laporan industri dwi-tahunannya, Waypoint, MAVCOM berkata, trafik penumpang antarabangsa telah meningkat pada purata 80.9 peratus suku ke suku susulan pembukaan semula sempadan antarabangsa sepenuhnya.

Selain itu katanya, Hak Trafik Udara (ATR) antarabangsa yang diluluskan juga mencatatkan peningkatan ketara tahun ke tahun iaitu sebanyak 246.1 peratus, menunjukkan pemulihan kukuh pasaran antarabangsa.

Selain itu, jumlah trafik penumpang mencapai 73.0 peratus daripada paras jumlah trafik penumpang pada 2019.

MAVCOM mengekalkan ramalan trafik penumpang udara seperti yang diumumkan pada tahun Disember 2022.

“Suruhanjaya menjangkakan trafik penumpang udara akan meningkat antara 40 peratus dan 52 peratus tahun ke tahun pada tahun 2023, mencapai antara 74.6 juta dan 80.8 juta penumpang,” katanya dalam kenyataan.

Menurut MACVOM, suku pertama 2023 juga menyaksikan penurunan dalam prestasi kargo penerbangan dengan Jumlah Freight Tonne Kilometre (FTK) telah berkurang sebanyak 11.0 peratus tahun ke tahun kepada 4,666 juta, penurunan suku kedua yang berturut-turut.

Jelasnya, penurunan itu selaras dengan prestasi perdagangan Malaysia dalam suku yang sama, disebabkan oleh beberapa faktor, termasuk kelembapan ekonomi global, peralihan berterusan dalam perbelanjaan pengguna daripada barangan kepada perkhidmatan, serta kitaran turun (downcycle) dalam industri Elektrik & Elektronik (E&E).

“Trafik kargo udara diramalkan berkembang antara 3.0 peratus dan 4.8 peratus tahun ke tahun pada tahun 2023. Berdasarkan prestasi kargo yang mencabar pada S123, MAVCOM meramalkan trafik kargo bagi tahun 2023 akan berada di sekitar tahap rendah ramalan, menunjukkan pertumbuhan yang lebih perlahan,” katanya.

Mencerminkan pemulihan pesat industri penerbangan negara, kedudukan kesalinghubungan udara Malaysia meningkat kepada taraf kelima di ASEAN, mengatasi Filipina, dengan skor kesalinghubungan udara sebanyak 61.0 pada 2022.

Lapangan Terbang Antarabangsa KL, Terminal 1 dan Terminal 2 (KUL) mengekalkan kedudukannya sebagai lapangan terbang yang mempunyai taraf kesalinghubungan udara keempat tertinggi di ASEAN.

Mengulas prestasi itu, Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, walaupun industri penerbangan mengalami pengurangan dalam jumlah trafik kargo udara pada S123, lonjakan yang luar biasa dalam jumlah trafik penumpang memberikan gambaran yang baik tentang daya tahan industri penerbangan negara.

“Prestasi luar biasa ini bukan sahaja menunjukkan keupayaan industri penerbangan untuk pulih tetapi turut menyediakan asas yang kukuh bagi pertumbuhan sektor yang berterusan sepanjang tahun 2023,” katanya.

Beliau berkata, MAVCOM akan terus menyokong industri dan pihak berkepentingan industri penerbangan, khususnya melalui pelbagai inisiatif bertumpukan industri, seperti Laporan Waypoint.

Laporan itu jelas beliau, akan terus menjadi rujukan penting bagi pihak berkepentingan dalam industri penerbangan Malaysia, bukan sahaja dalam membimbing pemain industri membuat keputusan termaklum tetapi juga dalam memupuk sektor penerbangan yang berdaya tahan dan berorientasikan pengguna, memacu kepada pertumbuhan ekonomi negara yang lebih pesat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN