PETALING JAYA: Top Glove Corporation Bhd. (Top Glove) merekodkan kerugian bersih lebih rendah berjumlah RM130.59 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Mei 2023 berbanding RM164.67 juta tempoh sama tahun lalu.
Pendapatan syarikat pengeluar sarung tangan terbesar dunia itu juga turun kepada RM531 juta daripada RM1.49 bilion bagi suku ketiga tahun lalu dan RM618.01 juta suku sama 2021.
Top Glove dalam kenyataan berkata, penurunan dalam kerugian operasi Kumpulan didorong peningkatan harga jualan purata (ASP) serta inisiatif pengoptimuman kualiti dan kos yang berterusan.
Katanya, meskipun berhadapan landskap perniagaan yang mencabar, prestasi operasi keseluruhan Kumpulan bertambah baik di mana kerugian selepas cukai menurun sebanyak 23 peratus daripada suku kewangan sebelumnya.
“Langkah-langkah yang diambil termasuk penutupan barisan pengeluaran lapuk dan pemberhentian sementara di 17 daripada 49 kilang memandangkan permintaan sarung tangan sedunia yang lebih rendah yang masih dihadapi oleh industri sarung tangan.
“Penutupan barisan pengeluaran tersebut telah meredakan kapasiti pengeluaran sebanyak lima bilion helai sarung tangan, membawa jumlah kapasiti pengeluaran kepada 95 bilion helai sarung tangan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Top Glove, Lim Cheong Guan berkata, biarpun Kumpulan berada dalam kedudukan kerugian, ia amat menggalakan disebabkan kuantum kerugian operasi menurun daripada suku sebelumnya.
Katanya, ia timbul daripada peningkatan ASP serta inisiatif rasionalisasi kualiti dan kos Kumpulan dengan berpandukan strategi pemulihan enam matanya.
“Kami akan terus mengharungi persekitaran perniagaan yang mencabar dengan meningkatkan pendapatan jualan, penambahbaikan kualiti, menghapuskan pembaziran, mengoptimumkan peruntukan sumber, memotongkan perbelanjaan dan menyelaraskan proses kami ke arah kecekapan kewangan dan kelestarian yang lebih baik.
“Pelaksanaan rasionalisasi tenaga kerja berikutan pemberhentian sementara pengeluaran di beberapa kilang untuk mengurangkan lebihan bekalan sarung tangan merupakan langkah penting yang perlu diambil, ke arah daya tahan dan daya saing Kumpulan yang berterusan pada jangka panjang,” katanya.
Mengulas persekitaran perniagaan Cheong Guan berkata, ia dijangka kekal mencabar dan berdaya saing sepanjang separuh kedua 2023, namun Top Glove tetap optimis terhadap prospek jangka panjang.
“Walaupun sudah ada keadaan lebihan bekalan dan penimbunan stok sejak dua tahun lalu, juga penting untuk diambil perhatian bahawa kepenggunaan sarung tangan itu masih tidak menurun.
“Memandangkan inventori sarung tangan pelanggan dan industri adalah berhampiran tahap penghabisan, aktiviti penambahan stok dijangka bermula pada masa separuh kedua 2023, lalu merangsangkan peningkatan permintaan sarung tangan,” katanya.
Ujarnya, situasi tersebut serta serta inisiatif pemulihan T6 dan kenaikan ASP, Kumpulan itu berharap dapat melihat peningkatan yang stabil dan masa depan yang lebih cerah. – UTUSAN










