PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menawarkan pakej pemasangan solar mampu milik dan mudah akses melalui anak syarikat milik penuhnya, GSPARX Sdn. Bhd.
Tawaran solar atas bumbung tanpa pendahuluan itu disediakan untuk pelanggan kediaman yang mahukan penjimatan jangka panjang bil elektrik mereka.
Pakej kepada 150 pelanggan terawal diperkenalkan dengan penjimatan sehingga RM 4,999 untuk pemasangan solar photovoltaic (PV) atas bumbung, sehingga 31 Julai 2023. Semua pakej baharu merangkumi penyelenggaraan percuma sistem solar untuk dua tahun dan insurans solar percuma selama setahun.
Presiden TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, tawaran pemasangan solar mampu milik ini termasuk dengan pakej khas pelanggan terawal yang membolehkan pengguna mencapai penjimatan kos yang ketara di samping menggalakkan amalan penggunaan tenaga lestari.
“Tambahan pula, ini menunjukkan komitmen yang kuat daripada TNB untuk memperkuat inisiatif Net Energy Metering (NEM) 3.0 kerajaan,” katanya dalam kenyataan.
Bagi meningkatkan kemampuan pelanggan memiliki pakej solarnya, GSPARX telah bekerjasama dengan institusi kewangan untuk menawarkan pelbagai pilihan pembiayaan yang fleksibel.

Pilihan termasuk plan ansuran 36 bulan tanpa faedah melalui kad kredit atau pinjaman kewangan dengan tempoh pembayaran balik sehingga 10 tahun.
Melalui pilihan pembiayaan ini, GSPARX memudahkan pelanggan berubah menjadi prosumer untuk serentak menikmati manfaat ekonomi sambil mengawal penggunaan tenaga mereka sendiri.
Dengan memainkan peranan sebagai prosumer, pelanggan dapat mengambil langkah proaktif untuk menangani kesan daripada sebarang kenaikan kos elektrik masing-masing.
“Pendekatan berwawasan TNB dan tawaran inovatif GSPARX ini, membolehkan pelanggan memulakan hala tuju ke arah gaya hidup lestari, berhemat dan lebih hijau.
“Dengan memanfaatkan tenaga solar, pelanggan boleh menguruskan perbelanjaan elektrik mereka dengan berkesan sambil mengambil bahagian secara aktif dalam usaha global menangani perubahan iklim dan menggalakkan amalan lestari,” katanya. – UTUSAN










