PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) mempromosikan persekitaran kerja yang selamat dengan menjadi tuan rumah sulung kepada Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dalam menjayakan sidang kemuncak keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam kalangan pekerja GLC.
Sidang Kemuncak Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan GLC (GLC OSH Summit) 2023 di Bangi itu diadakan sempena Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) Sedunia 2023 baru-baru ini.
Ia membincangkan cabaran berkaitan dengan sasaran memperkukuhkan lagi budaya keselamatan dan pematuhan peraturannya secara lebih konsisten.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, sidang kemuncak itu simbol komitmen dan perpaduan janji dalam kalangan GLC untuk memperkasakan amalan budaya kerja berteras keselamatan yang lebih cekap dan berkesan.
“Ia memberi impak positif kepada GLC, apatah lagi ia menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) khususnya Melindungi Hak Buruh dan Mempromosikan Persekitaran Kerja Yang Selamat,” katanya di majlis berkenaan.
Majlis Perasmian GLC OSH Summit 2023 disempurnakan oleh Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar.
GLC OSH Summit menjadi platform perkongsian amalan terbaik Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) GLC bagi menambah baik sistem di organisasi masing-masing, selain membincangkan isu terkini dan langkah ke hadapan.
Ia juga menjadi platform untuk GLC daripada pelbagai sektor, menjalin dan memperkukuh kerjasama, mewujudkan ruang menyuarakan saranan serta cadangan kepada pihak kerajaan bagi menambah baik pengurusan KKP negara.
Seramai 210 peserta daripada 25 GLC, kementerian, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NIOSH) mengambil bahagian dalam sidang sehari itu. Ia bagi memperkasa rangkaian GLC dan pihak berkepentingan demi memastikan tahap fizikal, mental dan sosial yang tinggi dalam persekitaran kerja di organisasi masing-masing. – UTUSAN










