PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) menyumbang sebanyak RM491,944.15 kepada Darul Bakti, Sabah bagi merealisasikan projek pembinaan surau di Kampung Narinang serta kerja-kerja menaiktaraf Masjid Al-Hadhari Kampung Menunggui di daerah Kota Belud, Sabah.
Pembinaan surau dan menaik taraf masjid yang akan memberi manfaat kepada 700 orang penduduk Islam di kedua-dua kampung berkenaan.
Kota Belud terletak lebih 70 kilometer (km) dari Kota Kinabalu. Kampung Narinang dan Kampung Menunggui pula masing-masing berjarak 21km dan 2km dari Kota Belud.
Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mohamed Ameen Abdul Wahab menyerahkan sumbangan kepada Pengerusi Darul Bakti, Datin Saidatul Badru Tun Said Keruak di bawah program Musolla TH yang julung-julung kalinya diadakan kelmarin.
Ia tanda keprihatinan dan tanggungjawab TH dalam pemulihan dan pembinaan surau serta masjid.
“Sumbangan ini dapat menyediakan ruang ibadah untuk penduduk di Kampung Narinang di atas tanah wakaf yang kini turut diinap oleh 100 orang dimana 80 daripadanya adalah Muallaf.
“Selain itu, menerusi program Musolla TH ini juga, sumbangan disalurkan bagi menaiktaraf Masjid Al-Hadhari di Kampung Menunggui bagi menampung penambahan seramai 600 orang penduduk Islam di kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pelaksanaan program kemasyarakatan itu diharap dapat menyediakan ruangan ibadah yang selesa dan kondusif di kawasan setempat dalam usaha memartabatkan syiar Islam, menjaga kebajikan asnaf dan keperluan keluarga B40 serta muallaf miskin.
Katanya, kerja-kerja pembinaan surau Kampung Narinang dan membaikpulih masjid Kampung Menunggui dijangka mengambil masa enam bulan untuk disiapkan.
“Usaha TH ini akan diteruskan dengan mengenalpasti kawasan yang memerlukan pembinaan surau baru atau penaiktarafan masjid,” katanya. – UTUSAN










