PETALING JAYA: Kerajaan tidak akan melambatkan penerimaan teknologi atau inovasi di rantau ini, seterusnya memastikan dapat menempatkan semula bakat pada kadar lebih pantas agar dapat melengkapkan pekerja untuk masa depan.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, untuk menangani jurang kemahiran, beberapa perkara perlu dititikberatkan terutamanya mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang tinggi untuk mewujudkan pekerjaan yang lebih berkualiti tinggi.
Ujarnya, disebabkan itu, Kementerian Ekonomi tidak pernah mengalihkan perhatian daripada kepentingan permintaan agregat, penciptaan perniagaan, inovasi, dan pemilihan pertumbuhan tinggi, industri bernilai tinggi (HGHV) untuk melabur.
“Skala latihan semula dan pembangunan tenaga kerja juga mesti ditingkatkan. Anggaran terkini oleh Bank Dunia menunjukkan betapa besar jurang bakat kerana kita perlu mncipta dua juta lagi pekerjaan berkemahiran tinggi dan ini adalah cabaran global yang masih dihadapi oleh banyak negara.
“Justeru, dalam beberapa bulan akan datang, kami akan melancarkan beberapa siri inisiatif untuk memudahkan akses ke dalam program peningkatan kemahiran secara besar-besaran supaya kita dapat mengurangkan ketidakseimbangan bekalan dan permintaan.
“Selain itu, kerajaan akan menyokong persekitaran untuk mobiliti buruh. Ini kerana meletakkan bakat pada pekerjaan yang betul juga sangat penting,” katanya dalam ucapan pelancaran Pusat Keupayaan Serantau Deloitte.
Rafizi berkata, usaha Deloitte dalam mewujudkan Pusat Keupayaan Serantau adalah satu langkah yang tepat dalam memperakui perubahan dunia ke arah teknologi dan inovasi tinggi.
“Jika kita menumpukan penggunaan teknologi kita dalam pertumbuhan tinggi, industri berimpak tinggi seperti tenaga boleh diperbaharui, impak ekonomi adalah lebih ketara, ia sekali gus menyumbang kepada permintaan baharu untuk pekerja.
“Sebagai contoh, jika kita melabur dalam teknologi tenaga yang cekap dan projek penyesuaian perubahan iklim, rangkaian pekerjaan berkemahiran tinggi sepanjang rantaian nilai daripada pembuatan, pengangkutan, reka bentuk sistem, pemasangan dan penyelenggaraan.
“Malaysia diramal menjadi salah satu penerima manfaat terbesar dalam tenaga dan utiliti jika pekerja kita dilatih semula dengan set kemahiran yang disasarkan,” ujarnya.
Tambah beliau, teknologi bukan musuh malah ia adalah sekutu kita dalam membina semula Malaysia menjadi kuasa di rantau ini, serta memacu ekonomi untuk mencapai tahap tertinggi. – UTUSAN










