Syarikat farmaseutikal AS labur RM230 juta di Johor

Syarikat farmaseutikal AS labur RM230 juta di Johor

LEE TING HAN (tengah) menyempurnakan majlis pecah tanah fasiliti syarikat farmaseutikal AS, Colorcon Malaysia Sdn. Bhd. di Taman Perindustrian i-TechValley, SILC, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Johor terus menjadi destinasi syarikat asing dengan menerima pelaburan berjumlah RM230 juta dalam sektor farmaseutikal dan kesihatan di Taman Perindustrian i-TechValley di SILC, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han berkata, pelaburan itu daripada syarikat Colorcon Inc. yang beribu pejabat di Amerika Syarikat (AS) menerusi anak syarikatnya, Colorcon Malaysia Sdn. Bhd.

Pelaburan menerusi pembinaan kemudahan pembuatan pertama syarikat itu di Asia Tenggara yang mampu mewujudkan sebanyak 50 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

“Colorcon merupakan peneraju global dalam pembangunan, bekalan dan sokongan teknikal bagi bahan spesifik untuk sistem salutan filem serta teknologi pelepasan perubatan dan eksipien untuk industri farmaseutikal, pemakanan dan kesihatan haiwan.

“Kemudahan pembuatan baharu di i-TechValley ini adalah fasiliti ke-12 syarikat itu di dunia dan merupakan fasiliti pertama di Malaysia.

“Fasiliti berkenaan akan dapat menghasilkan produk salutan filem yang boleh dirumus khusus untuk keperluan aplikasi dan peraturan farmaseutikal, termasuk fungsi yang diingini untuk tablet atau dos berbilang zarah untuk pelepasan segera, pelepasan enterik atau berterusan,” katanya selepas menyempurnakan majlis pecah tanah syarikat tersebut.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon; Pengarah Urusan Colorcon Wilayah Timur Laut dan Tenggara, Willem Hoogwater dan Naib Presiden Operasi Colorcon Global, Daniel Wakefield.

Ting Han berkata, berdasarkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), nilai import produk yang dihasilkan Colorcon untuk kegunaan pasaran Malaysia berjumlah RM23 juta pada tahun lalu.

“Dengan siapnya fasiliti ini menjelang Julai 2025, kita bukan sahaja dapat mengurangkan kebergantungan import produk, malah membantu Malaysia menjadi hab pengeluaran produk farmaseutikal Colorcon untuk memenuhi keperluan sektor farmaseutikal dan pemakanan di Asia Tenggara, Australia, New Zealand, Korea, Taiwan dan Pakistan.

“Kehadiran Colorcon akan membantu meletakkan negeri Johor di peta dunia dan membantu usaha kerajaan negeri dan Persekutuan untuk meraikan kehadiran lebih banyak syarikat berkaitan dalam sektor farmaseutikal ke negeri ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN