PETALING JAYA: Kumpulan Sunway (Sunway) dan UOB Malaysia memeterai perjanjian kerjasama bagi mencapai matlamat bersama dalam pelepasan karbon sifar menjelang 2050.
Memorandum Persefahaman (MoU) itu ditandatangani oleh Pengarah Eksekutif Kumpulan Sunway, Sarena Cheah dan Ketua Negara Perbankan Korporat dan Perbankan Borong UOB Malaysia, Anita Tang. Turut hadir, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Sunway, Chong Chang Choong dan Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei.
Kerjasama itu akan menyaksikan Sunway dan UOB Malaysia memanfaatkan kekuatan dan kepakaran masing-masing untuk mengintegrasikan keperluan penyelesaian pembiayaan lestari, infrastruktur dan teknologi dalam pelbagai bidang perniagaan di
bawah ekosistem Sunway, termasuk bidang peruncitan, hospitaliti, penjagaan kesihatan, hartanah, pembinaan, dan bahan binaan.
Serena berkata, kerjasama itu adalah langkah penting bagi Sunway dan UOB Malaysia dalam perjalanan bersama ke arah masa depan rendah karbon.
“Usahasama kami selama dua dekad adalah bukti nyata terhadap peranan yang boleh dimainkan oleh anggota sektor swasta dalam usaha memajukan agenda kelestarian bersama-sama,” katanya.
Jelasnya, sejak 2015, Sunway telah mendukung sepenuhnya 17 Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-SDGs) dan melangkah lebih jauh melalui pengenalan kerangka penetapan harga karbon dalaman pada tahun lalu untuk mendorong pencapaian sasaran pelepasan karbon sifar menjelang 2050.
Sementara itu, Wei Wei berkata, UOB berbesar hati dapat bekerjasama dengan Sunway, sebuah organisasi yang berkongsi matlamat bersama untuk seiring mendorong cita-cita pelepasan karbon sifar.
Kata beliau, kerjasama itu melambangkan kekuatan perpaduan dan semangat kerjasama yang diperlukan untuk menjayakan peralihan kepada ekonomi rendah karbon.
“Kami bangga dapat menyumbangkan penyelesaian pembiayaan yang lestari, kerangka kerja serta kepakaran kami dalam kerjasama ini untuk menyokong perniagaan pelbagai bidang di Sunway dan juga rakan-rakan ekosistemnya dalam perjalanan dekarbonisasi mereka,” katanya. – UTUSAN










