PETALING JAYA: Huawei Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd. (Huawei Malaysia) mengumumkan pelantikan Simon Sun sebagai Ketua Pegawai Eksekutifnya yang baharu.
Beliau memegang ijazah Sarjana dalam Kejuruteraan Sistem Elektrik dan Komputer daripada Monash Universiti, Australia.
Sun mempunyai pengalaman lebih 17 tahun di Huawei dengan jawatan penting yang pernah dipegangnya termasuk Pengarah Akaun Telkomsel di Huawei Indonesia, dan Pengarah Akaun Globe Telekom di Huawei Filipina.
“Sebelum menyertai Huawei Korea, beliau adalah Ketua Kumpulan Rangkaian Perniagaan di Huawei Filipina,” maklum syarikat itu dalam kenyataan.
Jelasnya, antara tanggungjawab Sun ialah menetapkan strategi dan matlamat organisasi, mengekalkan tumpuan pelanggan pada setiap peringkat komunikasi dengan pihak berkepentingan, dan memastikan nilai teras syarikat.
Sementara itu, Sun berkata, ia adalah tempoh transformatif untuk Huawei Malaysia dan beliau teruja diberi peluang untuk
mengetuai pasukan di sini.
Jelasnya, Huawei Malaysia komited untuk bersama dalam perjalanan transformasi digital negara dan berjanji bekerjasama dengan Kerajaan, pelanggan dan rakan kongsi di sepanjang keseluruhan rantaian nilai untuk mengembangkan industri ICT dan memacu pembangunan ekonomi digital.
“Bersama-sama, saya pasti kita akan dapat membantu setiap industri berkembang maju dalam dunia pintar, di mana mereka mampu menyampaikan pengalaman pintar, menjana nilai lebih cepat dan mencapai pertumbuhan yang mampan. Saya bangga menjadi sebahagian daripada perjalanan ini,” katanya. – UTUSAN










