PETALING JAYA: SIBS, salah satu peneraju teknologi pembinaan modular terkemuka dunia, mengumumkan kejayaannya memperoleh kontrak bernilai berbilion ringgit untuk menyiapkan 2,174 apartmen di NEOM, salah satu projek perbandaran terbesar terletak di barat-laut Arab Saudi.
Projek berkenaan akan disiapkan dalam bentuk bangunan yang siap sepenuhnya. Keseluruhan projek akan disediakan dan ditauliahkan menjelang Suku Ketiga 2024.
Pencapaian penting ini menandakan satu kejayaan untuk pertumbuhan dan kemajuan berterusan syarikat dalam industri.
Dengan 2,174 apartmen dibina menerusi 35 bangunan, pembangunan terbabit menawarkan ruang kehidupan mewah dan pelbagai kemudahan bersesuaian untuk memenuhi keperluan penghuni bandar serba moden.
Bangunan terbabit terdiri daripada apartmen satu dan dua bilik tidur yang dilengkapi sepenuhnya dengan perabot siap terbina yang berkualiti, bilik air eksklusif dan balkoni untuk setiap apartmen.
Ketua Pegawai Eksekutif SIBS Group, Erik Thomaeus berkata, kejayaan itu melambangkan peristiwa penting untuk syarikat dan menggambarkan komitmen Kumpulan untuk mencipta pengalaman kehidupan yang luar biasa buat penghuni.
“Pemilihan SIBS sebagai pembekal kepada NEOM jelas menunjukkan bahawa kami mempunyai kecekapan dan kekuatan yang tidak dapat ditandingi ramai.
“Kami berharap dapat memberi sumbangan kepada pembangunan NEOM sebagai hab antarabangsa antaranya untuk inovasi, perniagaan dan pembangunan mampan. Kami teruja untuk menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan NEOM dan pada masa sama, menyediakan komuniti yang bertenaga dan mampan,” katanya dalam kenyataan.
Tahun lalu, syarikat pembinaan modular itu membuat pelaburan kilang baharunya di Pulau Pinang. Sejak itu, produktivitinya meningkat empat kali ganda, menjadikan SIBS salah satu pengeluar terbesar modul apartmen di dunia.
Kilang canggih meliputi kawasan seluas 550,000 kaki persegi pada tapak 28 ekar ini juga hampir kesemuanya beroperasi menggunakan tenaga solar untuk mengurangkan jejak karbon. Kilang baharu itu direka untuk memenuhi keperluan dunia yang kian meningkat dari segi kaedah pembinaan yang lebih pintar, cekap dan berkesan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIBS Malaysia, SP Ong berkata, projek itu membolehkan syarikat mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju industri dalam pembinaan modular.
“Kami mempunyai produk yang unik dan mendapat permintaan tinggi, dan saya yakin bersama pasukan profesional kami akan terus melakukan penambahbaikan untuk mengukuhkan kedudukan dalam industri sebagai peneraju dalam teknologi pembinaan. Segalanya di kilang kami direka dan dibina secara khusus, daripada sistem pengeluaran sehingga mesin yang digunakan untuk pengeluaran – sesuatu yang tidak dimiliki pesaing,” katanya. – UTUSAN










