PETALING JAYA: Eksport kargo kontena dan gas asli cecair (LNG) kukuh, namun pembukaan semula China gagal meningkatkan kemasukan dan keluaran kargo daripada industri berat, menurut Kenanga Research.
Penganalisisnya, Wan Mustaqim Wan Ab. Aziz berkata, ia dapat dilihat melalui keputusan suku pertama tahun kewangan 2023 apabila sektor itu memperoleh pendapatan yang lemah berbanding tiga bulan lalu.
Ujarnya, hanya keputusan Westports Holdings Bhd. (WPRTS) yang mencapai jangkaan disebabkan kos bahan api yang lebih rendah, manakala Bintulu Port Holdings (BIPORT), Pos Malaysia Berhad (POS) dan Swift Haulage Bhd. (SWIFT) tidak menepati sasaran.
“Kos operasi yang semakin meningkat turut tidak membantu sementara segmen kurier menyaksikan persaingan yang semakin sengit.
“Selain itu, peraturan lebih ketat mengenai pelepasan karbon mungkin menimbulkan cabaran perdagangan global baharu dan tidak baik untuk pengendali pelabuhan seperti WPRTS (TP: RM3.65),” katanya dalam nota kajian.

Bagaimanapun, beliau melihat titik terang dalam sektor logistik domestik, didorong secara dalaman dan kurang terdedah secara langsung kepada ancaman luar dan ia merupakan benefisiari daripada e-perdagangan.
“Pilihan utama sektor kami ialah BIPORT (OP; TP: RM5.55) dan SWIFT (OP; TP: RM0.97). Justeru, kami mengekalkan panggilan neutral pada sektor ini.
“BIPORT menjadi pilihan utama kerana aliran pendapatan yang stabil daripada pengendalian kargo LNG untuk Malaysia LNG Sdn. Bhd., potensi peningkatan dalam pendapatan jika Pelabuhan Bintulu diberi kenaikan tarif yang ketara di pelabuhannya dan potensi pertumbuhan luar biasa Pelabuhan Perindustrian Samalaju.
“Sementara itu, SWIFT dipilih kerana kedudukan utamanya dalam perniagaan pengangkutan Malaysia menguasai hampir 10 peratus bahagian pasaran, tawaran bersepadu nilai tambah yang menghasilkan margin keuntungan sebelum cukai yang luar biasa sebanyak 10 peratus dan potensi pertumbuhan yang luar biasa bagi perniagaan pergudangannya,” ujarnya.
Jelasnya, pemain industri mendapat manfaat daripada volum gerbang yang kuat di belakang ledakan eksport yang turut meningkatkan jumlah kargo LNG BIPORT sebanyak tujuh peratus tahun ke tahun berikutan permintaan yang lebih kukuh daripada Jepun dan Korea Selatan.
“Jualan logistik POS mengukuh dengan penarikan balik larangan eksport arang batu yang dikenakan oleh pemerintah Indonesia.
“Jumlah kontena pintu masuk WPRTS meningkat enam peratus, kekal kukuh di sebalik eksport pesat oleh pengilang tempatan, manakala SWIFT meningkatkan aktiviti pelabuhan.
“Bagaimanapun, BIPORT tidak mendapat manfaat terutamanya dengan kelembapan dalam jumlah kargo di Pelabuhan Perindustrian Samalaju kerana pembukaan semula China gagal meningkatkan permintaan untuk aluminium dan besi dengan ketara,” katanya. – UTUSAN










