PETALING JAYA: Maybank Islamic Bhd. menyasarkan 50,000 pelanggan menggunakan perkhidmatan penulisan wasiat baharunya, EzyWasiat dalam tempoh 12 bulan akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohamed Rafique Merican berkata, pelancaran EzyWasiat selaras dengan aspirasi Bank untuk membangunkan penyelesaian baharu dan inovatif yang dapat memberikan impak positif kepada komuniti secara meluas.
Katanya, perkhidmatan digital baharu itu membolehkan pelanggan merancang dan menyiapsediakan wasiat mereka dengan lebih cekap dan teratur, selaras dengan syariah dan undang-undang faraid.
“Produk ini disasarkan kepada umat Islam dan tidak hanya terhad kepada mereka yang sudah lama berniat untuk menyediakan wasiat tetapi terhalang sama ada disebabkan oleh faktor kerumitan proses, kos atau kurangnya kemudahan.
“Perancangan harta dan warisan adalah perkara yang harus diberikan keutamaan. Terdapat banyak laporan media yang menyebut harta atau aset bernilai lebih daripada RM70 bilion yang masih belum lagi diagihkan.
“Ini disebabkan kurangnya kesedaran tentang kepentingan merancang pembahagian harta sebelum kematian,” katanya pada sidang media majlis pelancaran EzyWasiat di Menara Maybank di sini, semalam.
Beliau berkata, pelanggan hanya perlu menyediakan dokumen yang betul dan dengan bayaranserendah RM600, penulisan wasiat mereka boleh disempurnakan dalam masa 30 minit sahaja.
Sementara itu, Mohamed Rafique berkata, EzyWasiat juga berpotensi untuk dikembangkan di pasaran Maybank Islamic yang lain.
“Dari segi pengurusan harta Islam, kami mempunyai kedudukan bukan sahaja di Malaysia. Jadi, aspirasi kami adalah supaya dapat menyediakan perkhidmatan ini kepada negara lain di ASEAN dan seterusnya,” ujarnya.
Untuk menyediakan kemudahan itu, Maybank Islamic menjalin kerjasama dengan syarikat fintech CreateWills Sdn. Bhd. serta menggabungkan nasihat sokongan dan pegawai perhubungan pelanggan Maybank Islamic yang berdedikasi. – UTUSAN










