PETALING JAYA: Sarawak pada dasarnya bersetuju untuk mengambil alih MASwings, anak syarikat milik penuh Malaysia Airlines Bhd. (MAB), untuk dijenamakan semula sebagai syarikat penerbangan butik milik kerajaan negeri, kata Primier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, MASwings yang kini hanya beroperasi di kawasan pedalaman Borneo, akan diberi nafas baharu dengan penambahan destinasi penerbangan dan penggunaan bahan api penerbangan mampan (SAF).
Malah katanya, kerajaan negeri juga mahu meningkatkan penerbangan domestik terutamanya ke Kuala Lumpur dan penerbangan antarabangsa seperti Singapura.
“Nama (syarikat penerbangan yang dijenamakan semula) adalah kedua, tetapi apa yang penting ialah objektif kami untuk menyederhanakan harga (tiket),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) antara syarikat milik kerajaan, Hornbill Skyways Sdn. Bhd. dan kontraktor penyusunan petroleum (PAC) di Kuching.
Tanpa mendedahkan garis masa proses penjenamaan semula, beliau berkata, langkah untuk mengambil alih syarikat penerbangan itu telah dicadangkan kepada Kerajaan Persekutuan baru-baru ini.
Isnin lalu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah memberitahu Dewan Rakyat bahawa Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dijangka mengadakan pertemuan dengan kerajaan negeri Sarawak bagi membincangkan perkara berkaitan syarikat penerbangan butik di negeri itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 17 April lalu dilaporkan secara prinsip bersetuju dengan cadangan kerajaan negeri Sarawak untuk menubuhkan syarikat penerbangan butik.
Beliau berkata, penubuhan syarikat penerbangan itu boleh meringankan tambang yang mahal terutama antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. – UTUSAN










