KUCHING: Laluan pengangkutan udara antara Indonesia dan Sarawak memberi peluang pertumbuhan rangsangan yang baik kepada pelbagai sektor ekonomi di negeri ini, kata Menteri Pengangkutan Sarawak (MOTS) Datuk Seri Lee Kim Shin.
Justeru itu, Kim Shin percaya pembukaan laluan udara itu mempunyai potensi besar, bukan sahaja dari segi pelancongan tetapi juga dalam bidang perdagangan, pelaburan, warisan budaya, hubungan sosial, dan kemakmuran ekonomi antara Indonesia dan Sarawak.
“Selain mewujudkan peluang perniagaan dan membantu dalam pertumbuhan sektor pelancongan, ia akan membolehkan pelancong dan pengembara menerokai kekayaan sejarah dan kepelbagaian budaya antara Kuching dan Jakarta.
“Ia sekali gus berfungsi sebagai jambatan yang memupuk persefahaman dan membina hubungan yang baik antara kedua-dua bandar,” katanya ketika merasmikan penerbangan langsung pertama dari Jakarta (Soekarno Hatta) ke Kuching di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini, hari ini.
Penerbangan langsung syarikat penerbangan AirAsia dari Jakarta ke Kuching itu menyaksikan seramai 147 penumpang, manakala dari Kuching ke Jakarta membawa 152 penumpang.
Dengan penerbangan Jakarta-Kuching baharu itu, Sarawak kini mempunyai 44 penerbangan antarabangsa setiap minggu dari Jakarta, Singapura dan Brunei Darussalam.
Kim Shin juga mendedahkan selain Jakarta, Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) turut menggesa agar AirAsia mempertimbangkan laluan Kuching -Pontianak – Kuching
“Kita berharap ia disambung semula. Saya sendiri telah bercakap dengan Konsul Jeneral Indonesia di Kuching, bagaimanapun ia masih menunggu kelulusan daripada Kementerian Pengangkutan Indonesia.
“Kita berharap agar usaha seperti ini berterusan secara strategik dengan semua pihak, terutamanya sektor penerbangan bukan sahaja meningkatkan pelancongan tetapi juga menyediakan peluang pekerjaan dan kesan limpahan berterusan kepada pelbagai industri,” katanya.
Sementara itu, Konsul Jeneral Indonesia di Kuching, Raden Sigit Witjaksono berkata, perbincangan bersama kementerian berkaitan sedang giat dijalankan.
“Kita telah mengadakan lebih empat perbincangan bersama kerajaan Sarawak (itu yang saya ingat), dan juga sudah tentu membawa perkara ini ke kementerian di Indonesia.
“Daripada perbincangan yang telah dilakukan, kita menjangkakan sebelum akhir tahun ini kita akan membawa semula penerbangan ke Pontianak dari Kuching,” katanya. – UTUSAN










