Rumah mampu milik: Perlu polisi lebih jelas - Utusan Malaysia

Rumah mampu milik: Perlu polisi lebih jelas

RUMAH mampu milik perlu ditingkatkan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polisi yang lebih jelas daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) mampu membantu pemaju untuk mematuhi kuota pembinaan rumah mampu milik di dalam setiap projek perumahan yang dibangunkan syarikat hartanah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Ridhuan Bos Abdullah berkata, ia sekali gus dapat membendung tindakan segelintir pemaju yang mengelak daripada memenuhi syarat terbabit.

Menurutnya, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) meneliti semula syarat yang menetapkan pemaju perumahan untuk menyediakan kediaman mampu milik dalam setiap projek mega yang dibangunkan perlu dipandang serius pelbagai pihak terutamanya PBT dan pemaju.

Katanya, ia bagi membolehkan kuota rumah mampu milik yang dibina di setiap daerah sama ada di bandar mahupun luar bandar tidak berkurangan dan sekali gus membolehkan golongan B40 dan M40 memiliki kediaman.

“Memang akan ada pemaju memberi alasan tanah mahal dan sebagainya dan mereka buat rumah fasa demi fasa tidak seperti dahulu mereka mengikut regulasi yang ditetapkan PBT.

“Jadi ada sesetengah pemaju cuba mengelak beberapa keperluan ditetapkan atau membina rumah mampu milik dalam skala kecil dan kita boleh lihat ada beberapa keperluan digariskan KPKT tidak penuhi pemaju,” katanya.

Bagaimanapun, Ridhuan Bos berkata, tidak semua pemaju tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan KPKT dan PBT, malah ada yang berusaha memenuhi serta melakukan lebih daripada yang sepatutnya dalam membina rumah mampu milik.

“Saya bukanlah mengatakan ada kelompongan kerana kita faham bahawa kekangan tanah memberi cabaran kepada pemaju cuma kalau boleh kita hendak lihat semula peraturan ditetapkan dipatuhi.

“Kita juga mahu melihat rancangan PBT itu sendiri bila dihubung dengan strategik di mana lokasi sesuai dibina rumah mampu milik, rumah kos sederhana dan kos tinggi melalui regulasi yang jelas atau kita gelarkan polisi yang lestari,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kajian semula dasar rumah mampu milik juga perlu tertumpu kepada semakan semula harga rumah berkenaan.

“Kerajaan perlu melihat aspek kitaran ekonomi, pasaran buruh yang belum stabil dan penawaran upah atau gaji yang tidak stabil menyebabkan rakyat tidak mampu memiliki kediaman sendiri.

“Perkara ini memberi tekanan kepada isi rumah terutamanya mereka yang baharu bekerja atau memasuki pasaran buruh tidak mampu membeli rumah mampu milik dan ini juga perlu diberi perhatian,” katanya.

Kelmarin media melaporkan, Anwar meminta KPKT meneliti semula syarat yang menetapkan pemaju perumahan untuk menyediakan kediaman mampu milik dalam setiap projek mega yang dibangunkan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata langkah itu perlu memandangkan syarat yang ditetapkan iaitu membina sekurang-kurangnya 30 peratus rumah mampu milik dalam setiap projek perumahan tidak mengikut jadual dan skala yang ditetapkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya