PETALING JAYA: Razer Merchant Services (RMS), cabang B2B Razer Fintech, memperoleh lesen Pemerolehan Langsung Visa di Malaysia, Singapura dan Filipina, sebagai sebahagian daripada kerjasama serantaunya.
Pada masa sama, RMS kini diperakui dengan Perkhidmatan Token Visa (VTS) bagi membolehkannya menawarkan perkhidmatan pembayaran kad lebih selamat dan melalui kaedah penyulitan (encrypted), yang dapat digunakan ketika transaksi pembayaran peniaga.
Menurut syarikat itu, menerusi kerjasama dengan Visa, RMS menyasarkan untuk mengembangkan lagi skim kad ke negara berkaitan merentasi pelbagai industri termasuk penjaja, e-hailing, peniaga pasaran, perkhidmatan-perkhidmatan atas permintaan, e-sukan, kerajaan, dan pendidikan.
Jelasnya, set penuh penyelesaian lain Visa yang ditawarkan RMS kepada peniaga adalah Penjual Pantas Langsung (RSO).
“RSO merupakan penyelesaian digital langsung, penilaian wajar (termasuk pemarkahan risiko), dan penaja jamin (kelulusan yang diperlukan untuk pengesahan penerimaan peniaga) yang digunakan sebaik sahaja peniaga mendaftar menerusi portal digital langsung RMS.
“Perkhidmatan ini memberi kemudahan kepada peniaga untuk menempatkan mereka ke dalam talian di laman web RMS, sementara penilaian wajar serta semakan pematuhan dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, ekosistem skim pembayaran kad RMS akan dipertingkatkan lagi menerusi aplikasi Terminal Maya (VT) RMS yang menjadikan telefon pintar peniaga sebagai terminal pembayaran dengan mengaplikasikan pangkalan data luar talian fizikal semasa peniaga yang melebihi 40,000 titik sentuh pembayaran QR.
Aplikasi VT akan menambah penerimaan kad tanpa sentuh dengan lancar menerusi teknologi Tap-on-Phone yang lebih cekap dan kos efektif berbanding penggunaan terminal konvensional.
Ketua Pegawai Eksekutif Razer Fintech, Lee Li Meng berkata, RMS mahu memperkasakan lebih ramai peniaga PKS dengan keupayaan mencapai jutaan kad dan akaun di seluruh Asia Tenggara.
Beliau berkata, menerusi kerjasama dengan Visa, RMS telah menyelaraskan inisiatif kami dalam mendigitalkan kaedah pembayaran peniaga di seluruh Malaysia, Singapura dan Filipina.
“Kami akan mengguna pakai kaedah ini di seluruh negara Asia Tenggara lain seperti Thailand, Indonesia, Taiwan, dan Hong Kong. Pelanggan kepada peniaga RMS juga akan meraih manfaat daripada pengalaman pembayaran yang selamat dan dipertingkatkan menerusi penyelesaian VTS kami.
“Kami akan terus memperkasakan ciri pembayaran inovatif bagi memastikan peniaga kami dilengkapi dengan pilihan pembayaran terbaik,” katanya. – UTUSAN










