PETALING JAYA: Ringgit terus dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada pagi ini berikutan permintaan yang lemah walaupun Rizab Persekutuan AS mengekalkan kadar penanda arasnya pada 5.25 peratus semasa mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan semalam.
Pada pukul 9.02 pagi, mata wang tempatan itu didagangkan pada 4.6210/6245 berbanding dolar daripada 4.6195/6235 penutup semalam.
Memetik laporan Bernama, pedagang ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz berkata, dengan kadar faedah semasa Malaysia pada 3 peratus, perbezaan kecil berbanding kadar AS boleh menyebabkan dolar kehilangan daya tarikan dalam jangka pendek dan sederhana, sekali gus membuka ruang untuk kemungkinan kenaikan ringgit pada masa akan datang.
Beliau berkata, langkah terbaharu Fed juga menandakan perubahan penting dalam pendiriannya, setelah menghabiskan 10 mesyuarat terakhir secara beransur-ansur dengan menaikkan kadar faedah.
Katanya, ia juga meningkatkan peluang bahawa Fed mungkin terus menurunkan kadar faedah dalam mesyuarat akan datang, walaupun kemungkinan itu tidak berlaku buat masa ini.
“Dari sudut teknikal, jika ringgit-dolar AS (kadar) berjaya menembusi di bawah 4.5980, ia boleh jatuh serendah 4.5250 dalam beberapa hari (akan datang),” katanya.
Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, walaupun Fed mengekalkan kadar penanda aras pada 5.25 peratus, ia bagaimanapun, kekal `hawkish’ dan condong ke arah menurunkan kadar inflasi ke paras sasaran sebanyak 2 peratus.
“Melangkah ke hadapan, tumpuan akan diberikan kepada Bank Pusat Eropah di mana konsensus menjangkakan satu lagi kenaikan 25 mata asas dalam kadar polisinya apabila Majlis Pentadbiran bermesyuarat hari ini,” katanya.
Sementara itu, ringgit didagangkan lebih rendah kebanyakan sekumpulan mata wang utama lain.
Ia meningkat berbanding yen kepada 3.2899/2926 daripada 3.3015/3046 pada penutup semalam, namun susut berbanding pound kepada 5.8497/8542 daripada 5.8423/8473 dan jatuh berbanding euro kepada 5.0078/01916 daripada 4.9918/9962.
Bagaimanapun, mata wang tempatan itu diniagakan lebih tinggi berbanding kebanyakannya mata wang ASEAN.
Ringgit sedikit rendah berbanding rupiah pada 309.9/310.3 daripada 309.8/310.3 pada penutup semalam.
Mata wang tempatan bagaimanapun menambah nilai berbanding baht kepada 13.2864/3022 daripada 13.3192/3380. Ia juga meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4429/4460 daripada 3.4433/4465 dan bertambah baik berbanding peso Filipina kepada 8.25/8.27 daripada 8.26/8.27 sebelum ini. – UTUSAN










