PETALING JAYA: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada dagangan hari ini berikutan sentimen berhati-hati pelabur menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS dijadual 13 dan 14 Jun ini.
Pada pukul 9.08 pagi, mata wang tempatan itu didagangkan pada kadar 4.6155/6185 berbanding 4.6115/6160 penutup Jumaat lalu.
Memetik laporan Bernama, Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, konsensus pasaran menganggarkan Rizab Persekutuan (Fed) mungkin mengekalkan Kadar Dana tidak berubah pada 5.25 peratus.
Menjelang mesyuarat itu, kadar inflasi AS bagi Mei akan dikeluarkan dengan indeks harga pengguna (CPI) utama dijangka menyederhana kepada 4.2 peratus daripada 4.9 peratus bulan sebelumnya, manakala CPI teras dijangka meningkat kepada 5.6 peratus daripada 5.5 peratus bulan sebelumnya.
“Memandangkan paras kadar inflasi yang tinggi, peserta pasaran berhati-hati dan lanjutan itu, pasangan dolar-ringgit akan terus berada pada julat sekitar RM4.61 hari ini,” katanya.
Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding kebanyakannya sekumpulan mata wang utama.
Ringgit jatuh berbanding pound kepada 5.8035/8073 daripada 5.7819/7875 pada penutupan Jumaat. Ia susut berbanding yen kepada 3.3110/3131 daripada 3.3022/3059, namun meningkat berbanding euro kepada 4.9584/49961 daripada sebelumnya.
Ringgit juga diniagakan rendah berbanding kebanyakannya mata wang ASEAN lain.
Mata wang negara itu susut berbanding dolar Singapura kepada 3.4354/4379 daripada 3.4294/4330 pada Jumaat. Ringgit turun berbanding baht Thailand kepada 13.3303/3452 daripada 13.3196/3376 dan susut sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 310.9/311.2 daripada 3110.3. – UTUSAN










