PETALING JAYA: Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dipilih untuk menerajui usaha penyahkarbonan negara dalam industri maritim dan untuk memupuk pertumbuhan inklusif melalui infrastruktur mampan di Asia Tenggara.
PTP yang merupakan usaha sama antara Kumpulan MMC dan APM Terminals yang berpangkalan di Hague, Belanda dipilih untuk menjadi sebahagian daripada Partnerships for Infrastructure (P4I), projek kerajaan kepada kerajaan (G2G) antara Malaysia dan Australia.
Pengerusi PTP, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata, PTP berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada projek itu dan bercita-cita memupuk pertumbuhan inklusif melalui infrastruktur mampan di Asia Tenggara khususnya di Malaysia.
“PTP komited untuk membantu usaha Malaysia dalam menyahkarbonkan industri maritim negara dan seterusnya memangkin komitmen Malaysia dan global,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Marco Neelsen berkata, PTP berbesar hati kerana diiktiraf oleh kedua-dua kerajaan Malaysia dan Australia atas komitmennya terhadap kemampanan.
Kata beliau, pihaknya gembira untuk bekerjasama rapat dengan kedua-dua pihak, terutamanya melalui pasukan projek P4I dan berharap kejayaan pelaksanaan inisiatif ini akan menjadi pengubah permainan dalam mentransformasikan industri maritim di Malaysia.
“Kemampanan adalah teras kepada perniagaan kami dan kami komited untuk mencari cara inovatif untuk memperkasakan agenda.
“Ini bermakna kemampanan diterapkan dalam semua perkara yang kami lakukan daripada cara kami mengurus perniagaan kami, kepada cara kami beroperasi sebagai pengendali terminal dan cara PTP menyokong dan menyumbang kepada objektif pembangunan masyarakat dalam negara,” ujarnya.
Pengumuman itu dibuat oleh Pasukan Petugas Jabatan Laut GV2050 semasa pembentangan Laporan Pelaksanaan GV2050 di Malaysia (Fasa 1) semasa Minggu Maritim Malaysia 2023.
Pada majlis tersebut, PTP turut mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Laut Malaysia sebagai perintis projek khas di Malaysia melalui inisiatif Green Tug dan Pilot Boat. – UTUSAN










