Proton DX, pusat pengalaman digital automotif pertama negara

Proton DX cetus minat inovasi

PROTON DX beri peluang kepada generasi muda menyaksikan inovasi baharu industri automotif. – UTUSAN/FAUZI BAHARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: ACO Tech, sebuah syarikat dalam Kumpulan Proton yang dimiliki bersama oleh Altel dan ECARX, melancarkan pusat pengalaman digital automotif pertama negara, Proton Digital Experience (Proton DX).

Terletak di Quill City Mall, Proton DX merupakan pusat untuk peminat kereta dan teknologi dari semua peringkat usia untuk berkumpul dan menyaksikan inovasi terbaharu dalam industri automotif.

Ia juga bertujuan menjadi platform bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), untuk mencetus minat terhadap bidang tersebut dalam kalangan generasi muda.

Proton DX berkeluasan 5,275 kaki persegi, menjadi lokasi yang menggabungkan elemen teknologi interaktif, rekreasi dan gaya hidup untuk mencipta satu pusat pengalaman yang unik.

Pusat tersebut mempunyai enam zon. Tumpuan utama Proton DX ialah Kokpit Virtual yang mana pengunjung boleh menikmati pemanduan maya dalam sebuah ruang seakan teater tertutup, untuk mengalami mobiliti pintar.

Selain mempamerkan tek­nologi-teknologi automotif da­l­am pasaran, Kokpit Virtual itu juga berfungsi sebagai platform pengalaman konseptual yang menggabungkan inovasi mobi­liti masa depan.

Proton DX dibangunkan oleh ACO Tech dengan kerjasama Proton dan China Construction Bank (CCB).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang berkata, pelancaran Proton DX sejajar dengan misi MOSTI untuk menjadi pereka teknologi menjelang 2030.

“Dengan adanya pusat se­perti ini, kita boleh adakan lebih banyak kerjasama yang sete­rusnya akan membantu negara dan inovator untuk terus cemerlang dalam bidang ini.

“Proton DX terbuka kepada orang ramai untuk menikmati pengalaman digital terutama­nya dalam industri automotif, sekali gus boleh menarik minat anak muda ke dalam bidang Sains, Teknologi, Kejurute­raan dan Matematik (STEM),” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan pusat itu, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Proton, Tan Sri Syed Faisal Albar; Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif ACO Tech, Li Pu dan Ketua Pegawai Eksekutif China Construction Bank Malaysia, Wang Qijie.

Sementara itu, Syed Faisal berkata, konsep pusat ini adalah untuk memberi pengalaman kepada orang awam tentang bagaimana penunjuk (indicator) Proton berfungsi.

“Ciri-ciri digital kereta Proton dalam pasaran bukan lagi di tahap biasa-biasa. Justeru, kami membina pusat ini supaya orang ramai boleh tahu tentang penawaran digital kami,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN