IPOH: Perbadanan Nasional Berhad (Pernas), dengan kerjasama Seketariat Usahawan Negeri Perak (STEP) mensasarkan potensi pembiayaan sebanyak RM3.68 juta dalam Program BizFrancais Perak 2023.
Ipoh menjadi lokasi pertama bagi siri jelajah Program BizFrancais pada tahun 2023 dan program ini akan diadakan di lima lokasi lain, iaitu Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Johor dan Pahang.
Pengerusi Pernas, Datuk Hazimah Zainuddin berkata, Pernas telah menganjurkan 16 siri program BizFrancais termasuk di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Kelantan, Langkawi, Johor, Melaka, Terengganu, Sabah dan Sarawak sejak diperkenalkan pada tahun 2019.
“Program BizFrancais ini bertujuan untuk memperkenalkan perniagaan francais dan pra-francais serta memudahkan para pengunjung untuk mendapatkan maklumat yang ditawarkan oleh Pernas,” katanya.
Beliau ditemui pemberita perasmian Bizfrancais@perak 2023 di Casuarina Meru di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Koperasi dan Pembangunan Usahawan negeri, Salbiah Mohamed dan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Pernas, Datuk Abu Bakar As-Sidek Mohd. Sidek.
Menurut Hazimah, Pernas telah meluluskan sebanyak RM14.94 juta pembiayaan daripada penganjuran program BizFrancais sejak tahun 2019 sehingga 2022.
Katanya, Pernas telah membiaya sebanyak RM17.6 juta bermula pada tahun 2004 sehingga kini,kepada para usahawan di Perak.
Sementara itu, dalam program yang sama, berlangsung sesi Memorandum of Understanding (MOU) di antara Pernas dan Universiti Sultan Abdul Aziz (USAS) yang bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para pelajar universiti dan graduan mengenai ekosistem francais.
Hamizah berkata, Pernas akan menyediakan latihan modal insan dan konsultasi peniagaan, latihan keusahawanan, pembangunan perniagaan serta francais dan latihan industri kepada pelajar dan graduan USAS.
“MoU pada hari ini juga menjadi titik permulaan kepada Pernas untuk mengadakan kerjasama dengan universiti lain pada masa hadapan,” katanya.
Selain itu, turut berlangsung sesi penyampaian cek replika, sijil penghargaan kepada peserta Projek Excelerator, Program Pembangunan Francais, surat tawaran program BIT Pernas.
Dalam pada itu, Pernas juga turut menyampaikan sumbangan barang keperluan kepada golongan asnaf sempena program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Pernas Prihatin.
Program ini turut memberi manfaat kepada 200 penerima asnaf di sekitar Perak dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk). – UTUSAN










