Prestasi syarikat kurang menarik minat pelabur asing?

Prestasi syarikat kurang menarik minat pelabur asing?

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Saham-saham tempatan kurang menarik minat pelabur asing selepas kebanyakan syarikat melaporkan prestasi kewangan yang kurang memberangsangkan pada suku pertama tahun kewangan 2023, menurut penganalisis ekonomi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, Bursa Malaysia yang didagangkan di bawah 1,400 dalam tempoh kira-kira dua minggu ini disebabkan ba­nyak pelabur asing menjual saham mereka dan menukar wang ke dolar Amerika Syarikat (AS) bagi meraih keuntungan.

Kata beliau, secara keseluruhan, banyak sektor yang me­nunjukkan prestasi lebih rendah (berbanding tahun lalu) terutamanya yang menggunakan bahan mentah yang diimport dalam dolar AS.

Selain itu katanya, ia turut disebabkan ringgit yang lebih lemah dari dolar AS.

“Pasaran saham ketika ini dilihat bertahan pada 1,350, 1,320 dan 1,300 mata. Jika tidak mampu bertahan mungkin akan turun di bawah 1,300 mata.

“Bagaimanapun, jika dilihat secara keseluruhan tahun ini, prestasi pasaran saham negara tidak jauh menurun dengan purata pergerakan pada 1,450 iaitu masih lagi tinggi,” katanya.

Semalam, ringgit dibuka pada 4.619/4.624 berbanding dolar AS, sebelum ditutup pada 4.617/4.622. Bursa Malaysia pula naik 5.67 mata kepada 1,386.28 pada penutup pukul 5 petang.

Barjoyai berpandangan, pe­ngumuman atau ‘berita baik’ da­ripada kerajaan dipercayai dapat meningkatkan pasaran saham yang ketika ini dipengaruhi oleh sentimen.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, Bursa Malaysia sepatutnya kembali menghampiri prestasi indek pada 1,400 mata minggu lepas apabila isu had siling hutang kerajaan AS berjaya diselesaikan lebih awal.

Namun menurutnya, pengurus dana antarabangsa berhati-hati untuk melabur di Malaysia berikutan prestasi kebanyakan syarikat Malaysia sedang menghadapi cabaran getir dalam industri masing-masing.

“Bagaimanapun, ekonomi China dijangka akan menjadi lebih baik pada setengah tahun kedua 2023 dan ini bakal memberikan kesan yang positif kepada Malaysia secara amnya.

“Pengurus dana menganggap Malaysia seperti sebuah portfolio yang lain, sekiranya prestasi bagus maka mereka akan me­labur untuk mendapatkan keuntungan dan sebaliknya. Jadi, Bursa Malaysia perlu mempunyai aktiviti baharu yang boleh menarik para pelabur kembali aktif,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN