PETALING JAYA: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menegaskan tidak akan melaksanakan langkah pembuangan pekerja meskipun berhadapan dengan persekitaran ekonomi dan dunia yang mencabar.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, sebaliknya Petronas kini sedang meninjau peluang yang ada di luar perniagaan tradisinya sejajar dengan peralihan dunia ke arah tenaga bersih.
Menurut Tengku Muhammad Taufik, ia bertujuan mencari peluang yang ada bagi penempatan semula kemahiran untuk perniagaan baharu syarikat minyak dan gas nasional itu di dalam bidang berkenaan.
“Jelas sekali keuntungan tidak akan sentiasa sampai ke tahap (lebih tinggi), tetapi apa yang ditawarkan serta peluang yang ada dengan peralihan tenaga ini mampu membantu Petronas.
“Jika anda melihat seruan Petronas adalah untuk mencari 30 peratus hasil bukan tradisional menjelang akhir dekad ini dan semua ini menawarkan peluang besar untuk syarikat seperti Petronas yang sudah melakukannya dalam skali dan modal yang besar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi taklimat Petronas bersama pengarang yang turut dihadiri Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan Petronas, Liza Mustapha.
Mengulas lanjut, Tengku Muhammad Taufik berkata, Petronas akan terus melabur dalam usaha cari gali serta melaksanakan pelaburan semula dalam sektor tenaga.
Katanya, ia susulan penubuhan cabang pelaburan tenaga bersih, Gentari Sdn. Bhd., pada Jun tahun lepas dan telah memperuntukkan sejumlah RM25 bilion dalam suku pertama tahun kewangan 2023 bagi tujuan penyahkarbonan selaras usahanya dalam aspek tenaga bersih.
“Petronas melihat penggunaan hidrokarbon masih relevan dan mungkin akan bertahan dalam tempoh 30 tahun lagi dan kami melihat campuran tenaga 40 hingga 45 peratus masih dalam minyak dan gas,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Tengku Muhammad Taufik berkata, Petronas bakal meningkatkan pengeluaran hariannya kepada 2.7 juta tong setara minyak (Boe) bagi tempoh berbaki tahun ini berbanding 2.5 juta Boe ketika ini.
Katanya, ia bertujuan untuk mengekalkan keuntungan kukuh dalam keadaan harga minyak mentah yang rendah memandangkan kalangan pemain industri minyak dan gas (O&G) tidak lagi menikmati peningkatan keuntungan yang besar berikutan penurunan purata harga minyak mentah kepada AS$81 setong pada suku pertama tahun ini daripada AS$101 setong tahun lepas.
Jelas beliau lagi, berdasarkan aliran tunai yang dijana, Petronas mampu untuk memenuhi komitmen dividen RM40 bilion, meskipun Petronas mengunjurkan harga minyak mentah mencatat purata AS$81 hingga AS$85 setong untuk sepanjang 2023. – UTUSAN










