PETALING JAYA: “Tiada beza dari segi bebanan yang dihadapi oleh golongan T20 (T1) dengan mereka yang berada dalam kelompok M40 malah B40 kerana kos hidup tinggi. Jadi, perlu ada definisi kaya yang betul supaya kita tidak salah dalam membuat polisi.”
Itu antara rumusan pakar ekonomi mengenai laporan Utusan Malaysia mengenai anggaran perbelanjaan individu bujang yang memerlukan sebanyak RM1,930 sebulan untuk tinggal di Lembah Klang.
Anggaran itu berdasarkan panduan Belanjawanku 2022/2023 yang diterbitkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC) Universiti Malaya (UM) dan dilancarkan kelmarin.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Felo Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Shazida Jan Mohd. Khan berkata, perbelanjaan yang jauh lebih tinggi daripada pendapatan gaji minimum RM1,500, menyebabkan ramai menceburi pekerjaan dalam sektor ekonomi gig.
Ini kerana katanya, sektor berkenaan dikatakan memberi upah lebih tinggi dan kompetitif berbanding jawatan yang ditawarkan selepas tamat pengajian.
Selain itu katanya, desakan kos hidup yang meningkat juga menyebabkan ramai melakukan kerja lebih daripada satu, dan keadaan itu boleh menyebabkan kepincangan sosial dalam masyarakat apabila ketua keluarga menghabiskan masa lebih banyak untuk bekerja berbanding bersama ahli keluarga.
Tambah beliau, berdasarkan Belanjawanku 2022/2023, pembahagian bantuan mengikut kumpulan pendapatan isi rumah B40, M40 dan T20 dilihat tidak lagi relevan untuk pihak kerajaan dalam membuat keputusan berkaitan polisi mahupun pemberian bantuan.
Sehubungan itu katanya, satu mekanisme baharu diperlukan kerajaan untuk mengurangkan beban rakyat di semua peringkat selain memastikan bantuan yang disalurkan tepat dan mencukupi.
“Misalnya, golongan T20 (T1) dengan hanya (gaji) median RM12,586 dan tinggal di Lembah Klang belum tentu layak dikatakan golongan kaya dan tidak lagi layak untuk menerima subsidi.
“Ini kerana di dalam di dalam Belanjawanku terkini mereka yang berkeluarga dan mempunyai dua orang anak memerlukan RM6,890 sebulan untuk perbelanjaan, jadi cuba bayangkan jika mempunyai lima orang anak bersekolah dan lain-lain perbelanjaan,” katanya.
Shazida berpandangan, kerajaan perlu mengambil tindakan drastik untuk menangani isu berkenaan apabila gaji minimum yang ditetapkan sebelum ini ternyata masih jauh lebih rendah daripada anggaran perbelanjaan rakyat berdasarkan Belanjawanku.
Jelasnya, dapatan itu juga memberi tamparan hebat kepada pelbagai pihak di mana kos hidup di bandar-bandar besar meningkat dengan begitu ketara sejak beberapa tahun kebelakangan, sehingga membelenggu kehidupan rakyat.
“Buat masa ini, kita tidak banyak pilihan selain mencuba untuk melakukan pelbagai pekerjaan jika ingin menambah pendapatan. Betul, teknologi boleh membantu, tetapi apakah ini mampu dilakukan oleh semua individu?” soalnya.
Berdasarkan anggaran Belanjawanku 2022/2023, Utusan Malaysia kelmarin melaporkan, individu bujang memerlukan perbelanjaan sebanyak RM1,930 sebulan untuk tinggal di Lembah Klang. Kos itu meliputi makan berjumlah RM610, sewa bilik (RM370) dan pengangkutan (RM140).
Jumlah tersebut meningkat kepada RM2,600 jika individu bujang tersebut mempunyai kenderaan, dengan anggaran perbelanjaan bulanan kenderaan sahaja berjumlah RM760.
Bagi pasangan suami isteri tanpa anak pula, mereka memerlukan perbelanjaan sebanyak RM4,420 untuk tinggal di Lembah Klang dan jika mempunyai dua anak, mereka memerlukan perbelanjaan sebanyak RM6,890 sebulan.- UTUSAN










