Penjualan Kidzania Singapura, kerajaan akan bertemu Khazanah

Penjualan Kidzania Singapura, kerajaan akan bertemu Khazanah

KHAZANAH dan Boustead Holdings Bhd melancarkan Kidzania di Singapura pada 2016 dengan suntikan modal SG$48 juta. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Isu penjualan Kidzania Singapura pada harga tidak masuk akal oleh sayap pelaburan kerajaan, Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) akan dibincangkan oleh kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan mengadakan mesyuarat dan pertemuan dengan Khazanah bagi membincangkan lanjut isu penjualan itu.

“Yang (perkara) itu kita mesyu­arat dulu,” katanya ketika ditemui selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Raja Haji Fisabilillah, di sini semalam.

Media sebelum ini melaporkan, Khazanah dikatakan menjual Kidzania Singapura pada harga tidak masuk akal kepada pengendali taman tema, Sim Leisure Group baru-baru ini pada harga SG$110,000 (RM379,398).

Difahamkan, Khazanah dan Boustead Holdings Bhd melancarkan Kidzania di Singapura pada 2016 dengan suntikan modal SG$48 juta (RM165.52 juta) ke dalam projek itu.

Bagaimanapun, pengurusan­ buruk taman tema itu oleh Khazanah menyaksikan ia me­rekodkan pendapatan SG$15 juta (RM51.73 juta) dan kerugian selepas cukai SG$8.3 juta (RM28.63 juta).

Singapore Business Times memaklumkan, Kidzania Singapura juga berhutang SG$53.4 juta (RM184.17 juta) kepada pemiutang, dengan sebanyak 93 peratus terhutang kepada Theme Attractions Resorts & Hotels Sdn Bhd (TARH), anak syarikat Khazanah.

Khazanah sebelum ini turut dilaporkan menjual Iskandar Malaysia Studios (IMS) pada harga yang rendah.

Terdahulu, Anwar menyertai lebih 1,000 jemaah menunaikan solat Jumaat di Masjid Raja Haji Fisabilillah, di sini.

Anwar yang lengkap berbaju Melayu warna biru muda mendengar khutbah bertajuk ‘Ibadah Korban Simbol Ketaatan Kepada Allah’ yang disampaikan Imam 1, Masjid Raja Haji Sabilillah, Ustaz Muhammad Ali Mohd Yunus.

Selepas menunaikan solat Jumaat, Perdana Menteri meluangkan masa bersalaman dan berbual ringkas dengan jemaah, sebelum beredar.

Terdahulu, Anwar beramah mesra bersama rakyat dan makan tengah hari di Foodcourt Sports Arena, di sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN