Penamatan kontrak Md. Nasir dibuat Ahli Lembaga Finas - Fahmi Fadzil - Utusan Malaysia

Penamatan kontrak Md. Nasir dibuat Ahli Lembaga Finas – Fahmi Fadzil

MENTERI Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil melawat tapak pameran selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) diantara TM Technology Services Sdn. Bhd. dengan ZTE (Malaysia) Corporation Sdn. Bhd di Hotel Hilton. UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penamatan kontrak Prof. Dr. Md. Nasir Ibrahim sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) berkuat kuasa hari ini, merupakan keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengarah agensi berkenaan.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya sudah dimaklumkan oleh Finas mengenai penamatan kontrak Md. Nasir dan ia dilaksanakan atas beberapa perkara termasuklah rombakan dan penyelarasan dasar agensi itu.

“Saya difahamkan pihak Finas telah mengeluarkan kenyataan pagi tadi di mana ia adalah keputusan Lembaga Pengarah dan mereka sudah maklumkan kepada saya bahawa ia berdasarkan beberapa perkara antaranya rombakan dan penyelarasan dasar.

“Semua itu merupakan dapatan yang kami terima dan juga pandangan daripada pihak Lembaga Pengarah mengenai hala tuju Finas ke hadapan,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan ucaptama Bengkel Shaping Digital Innovation 2023 di sini, hari ini.

Terdahulu, Finas dalam satu kenyataan memaklumkan kontrak Md. Nasir ditamatkan hari ini dan keputusan itu diambil selepas melihat kepada keperluan badan itu melakukan penstrukturan semula atau recalibration ke atas dasar, program dan aktiviti kreatif bagi menghasilkan filem tempatan yang berkualiti.

“Inisiatif ini diharap dapat membantu penggiat filem tempatan menghasilkan filem-filem berkualiti yang mempunyai nilai pasaran dan antarabangsa yang tinggi.

“Finas mengucapkan selamat maju jaya kepada Prof. Dr. Md. Nasir Ibrahim dan semoga beliau dapat meneruskan kecemerlangan dalam apa jua bidang dan organisasi yang bakal diceburi kelak,” tulis kenyataan tersebut.

Sebelum ini, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mengumumkan perlantikan Md. Nasir sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Finas bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 31 Oktober 2021 hingga 20 Oktober 2023.

Pelantikan beliau menggantikan bekas CEO terdahulu, Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang mengakhiri tugas 15 Oktober 2021. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya