PETALING JAYA: Penganalisis ekonomi melihat prospek getah Malaysia mampu kekal positif dengan permintaan global yang kukuh, inovasi dalam penggunaan getah serta peluang eksport ke pasaran baharu.
Pensyarah dari Jabatan Ekonomi & Perniagaantani, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia, Prof. Madya Dr. Shri Dewi Applanaidu berkata, walaupun terdapat cabaran seperti turun naik harga dan perubahan cuaca, Malaysia mampu mengadapatasinya bagi mengekalkan pertumbuhan ekonomi dalam pasaran getah.
“Getah asli merupakan salah satu komoditi penting yang membantu menjana pendapatan negara di samping kelapa sawit, kayu kayan, koko, kelapa, lada hitam dan kenaf.
“Kini, Malaysia menduduki tangga ketujuh sebagai negara pengeluar getah asli dunia sejak tahun 2019. Thailand menerajui kedudukan tertinggi diikuti oleh Indonesia Indonesia, Vietnam, Ivory Coast, China dan India.
“Malaysia menyumbang hampir empat peratus daripada 14 juta tan getah asli yang dihasilkan oleh negara-negara pengeluar dunia.
“Pengeluaran getah asli dan sintetik Malaysia pada tahun 2022 menurun sebanyak 17.8 peratus kepada 568.4 ribu tan berbanding 691.3 ribu tan pada tahun 2022,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, industri getah di Malaysia dipengaruhi oleh beberapa faktor termasuk permintaan global, harga komoditi, keadaan cuaca, politik, serta keadaan ekonomi dalam dan luar negara.
Ujarnya, walaupun industri getah negara menghadapi pelbagai cabaran seperti turun naik harga, perubahan cuaca dan persaingan daripada pengeluar lain, namun prospek jangka panjang pasaran getah Malaysia tetap positif.
Jelasnya, selain digunakan secara domestik dalam industri sarung tangan, tayar dan tiub, benang getah dan lain-lain, getah asli yang dihasilkan oleh Malaysia turut dieksport ke negara-negara seperti China dan India.
Shri Dewi berkata, itu kerana pertumbuhan pesat industri automotif dan elektronik terutamanya di negara-negara Asia.
Tambahnya, pertumbuhan itu akan terus memberi prospek yang baik untuk eksport getah dari Malaysia.
“Harga komoditi getah juga memainkan peranan penting dalam menentukan prospek getah.
“Terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi turun naik harga getah. Antaranya ialah pengeluaran, permintaan, stok getah, perubahan cuaca serta ketidakstabilan politik.
“Meskipun turun naik harga boleh mempengaruhi pendapatan pengeluar, permintaan yang kukuh serta inovasi dalam penggunaan getah mampu membantu dalam mengekalkan kepentingan pasaran getah Malaysia.
“Dalam usaha memperluas pasaran getah Malaysia, negara boleh menjalin hubungan dagangan dengan pelbagai negara dan mengambil bahagian dalam perjanjian serantau yang boleh membuka peluang eksport getah ke pasaran-pasaran baharu dan mengurangkan sekatan perdagangan yang mungkin ada,” katanya.- UTUSAN










