PUTRAJAYA: NanoMalaysia Berhad dengan kerjasama syarikat penyedia penyelesaian automasi runcit berasaskan kecerdasan buatan (AI), Retailetics Sdn. Bhd. melancarkan troli beli-belah pintar, ezyCart.
Ketua Pegawai Eksekutif NanoMalaysia Berhad, Dr. Rezal Khairi Ahmad berkata, ezyCart yang dihasilkan sepenuhnya menggunakan tenaga dan inovasi tempatan itu menyasarkan pasaran pedagang dan para pelanggan yang membeli-belah di pasar raya, pasar raya besar dan peruncit kelas atasan.
Menurut beliau, ezyCart menampilkan sistem pengesahan produk tiga sudut pandangan iaitu pengimbas kod bar, pengesahan berat dan muatan barang serta teknologi pengecaman menggunakan AI dengan gabungan penderia yang mengoptimumkan penyelesaian pemprosesan terkini berdasarkan teknologi nano.
Jelasnya, ciri-ciri tersebut membolehkan pembeli memandu arah di kawasan kedai untuk mencari produk, menikmati proses daftar keluar dan pembayaran dengan mudah serta tidak perlu beratur panjang di kaunter pembayaran.
“Dengan memanfaatkan teknologi ini, peniaga boleh meningkatkan operasi perniagaan mereka dan menyediakan persekitaran membeli-belah yang selamat dan kondusif sementara pelanggan mendapat manfaat daripada sistem peruncitan yang cekap.
“Pembeli juga boleh menggunakan teknologi ini untuk mengenal pasti barangan tepat yang ingin dibeli, selain NanoMalaysia menggabungkan bahan antibakteria berasaskan teknologi nano di permukaan troli ezyCart bagi memastikan ia sentiasa bersih.
“Selain itu, peruncit mampu mengenal pasti dan mengelaskan pelanggan mengikut segmen data demografik, memberikan ganjaran, mesej dan notis berdasarkan profil peribadi setiap pembeli selain sejarah pembelian,” katanya berucap pada majlis pelancaran troli beli-belah pintar (Revolusi Peruncitan) ezyCart di Pasar Raya Redtick di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Rezal berkata, objektif dan matlamat projek ezyCart adalah sejajar dengan visi NanoMalaysia untuk bandar pintar dan revolusi industri 4.0 serta REVOLUTIoNT yang menekankan gabungan teknologi nano, penciptaan barangan dan aplikasi internet pelbagai benda nano (IoNT) bagi menambah baik penyelesaian untuk pelbagai industri.
“Projek ezyCart merupakan penjelmaan komitmen kami terhadapat matlamat pembangunan lestari (SDG). Melalui inovasi, tanggungjawab alam sekitar dan perkongsian strategik, NanoMalaysia memacu perubahan positif dalam sektor peruncitan di Malaysia,” ujarnya.
Tambahnya lagi, sejumlah RM1 juta dana diperuntukkan oleh NanoMalaysia bagi pembangunan troli pintar berkenaan selain mereka akan terus membimbing Retailetics bagi tujuan pemasaran produk sehingga dapat menembusi pasaran Asia Tenggara.
Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang berkata, projek ezyCart berkait rapat dengan inisiatif dan dasar kerajaan di bawah program Malaysia Smart Technology and Ecosystem (MySTIE), khususnya dalam kelompok bandar pintar selain selaras dengan dasar Industry4WD di bawah bahan termaju yang menyokong Revolusi Perindustrian Ke-4 di peringkat global.
“Kerjasama antara peruncit, pembangun perisian, penyepadu platform, pengeluar komponen, agensi pengiklanan dan kementerian yang memberi tumpuan kepada perlindungan hak pengguna dapat dimaksimumkan melalui projek perintis seperti ini,” katanya. – UTUSAN










