PETALING JAYA: Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, bagi menjamin masa hadapan negara, Malaysia perlu terus melaksanakan pembaharuan-pembaharuan penting.
Beliau berkata, negara perlu meningkatkan lagi pertahanan untuk menghadapi krisis dan perlu meneliti keutamaan secara kritis bagi mempertingkat potensi pertumbuhan dan mencapai matlamat kelestarian.
“Kita perlu membina semula penampan yang telah digunakan bagi memantapkan daya tahan negara terhadap kejutan pada masa hadapan. Dan kita perlu meningkatkan keupayaan untuk membuat penyesuaian dan perubahan bagi menguruskan risiko dan menggunakan peluang yang akan datang.
“Penyelesaian bagi banyak cabaran yang dihadapi Malaysia memerlukan pendekatan seluruh negara. Dan dengan sebab itulah, tema bagi Simposium ini adalah `Pembaharuan Struktur ke Arah Malaysia yang Lebih Teguh’,” katanya dalam ucapan pelancaran Sasana Symposium 2023 (SS2023) semalam.
Simposium itu julung kalinya dianjurkan oleh BNM. Lebih 700 jemputan menghadiri wacana sehari itu yang membincangkan topik-topik penting melalui tujuh sesi panel dan pameran yang mengetengahkan jalinan pembayaran QR rentas sempadan antara Malaysia dengan Indonesia dan Singapura dan Thailand.
Nor Shamsiah berkata, pembaharuan struktur harus dilakukan bagi mengukuhkan prospek pertumbuhan negara dan menggalakkan lebih banyak peluang pelaburan.
Malah katanya, ia juga akan meningkatkan permintaan terhadap ringgit dan menjamin peningkatan yang lebih berkekalan dalam nilainya dari semasa ke semasa.
Menurut beliau, mata wang tempatan itu memerlukan lebih banyak jalan penyelesaian selain daripada penyelesaian jangka pendek.
Dalam pada itu, Nor Shamsiah berkata, dasar makro seperti Kadar Dasar Semalaman (OPR) harus diselaraskan seiring dengan ekonomi yang semakin mengukuh agar ia sepadan dengan realiti ekonomi negara.
Menurutnya, walaupun negara menghadapi cabaran dari luar, aktiviti ekonomi domestik sudah melebihi tahap prapandemik berdasarkan pelbagai petunjuk yang menunjukkan kekuatan relatif ekonomi negara.
Jelas beliau, BNM sedar walaupun ekonomi secara keseluruhan berada dalam keadaan sihat, namun masih ada segelintir pihak yang mengahdapi cabaran ekonomi.
“Bagaimanapun, OPR direka untuk kestabilan harga, lebih banyak langkah yang disasarkan disediakan untuk membantu mereka yang menghadapi kesukaran dalam memenuhi pembayaran balik pinjaman bulanan mereka,” katanya. – UTUSAN










