JOHOR BAHRU: Kerajaan perpaduan mahu memastikan negara menang dalam perlumbaan ekonomi, khususnya di rantau Asia Tenggara.
Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong berkata, ini kerana negara telah mengalami kerugian dalam ekonomi akibat pelbagai krisis yang melanda sejak beberapa tahun lalu termasuk pandemik Covid-19 dan aspek pentadbiran negara.
“Sehubungan itu, kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini dalam misi untuk mengejar kembali peluang ekonomi dan pelaburan yang kita telah hilang dan mahu memenangi perlumbaan ini.
“Beberapa tahun lalu apabila kita dengar berita syarikat Tesla mahu melabur di Indonesia, ramai berasa bimbang pelaburan asing akan lari ke negara jiran, namun dalam masa singkat kita telah dapat tarik semula pelaburan, antaranya Tesla, Amazon, Geely dan Rongsheng.
“Untuk memastikan kesemua pelaburan itu direalisasikan, kerajaan akan memudah cara bagi membolehkan pelaburan asing masuk dengan lebih agresif dalam negara,” katanya selepas merasmikan City Link Skybridge, penghubung antara Coronation Square ke Stesen JB Sentral di sini, hari ini.
Chee Keong memberitahu, komitmen kerajaan dalam aspek tersebut dapat dilihat apabila peruntukan pembangunan bagi tahun 2023 dinaikkan kepada RM97 bilion daripada RM71.6 bilion, tahun lalu.
“Peningkatan paling tinggi dalam pelaburan kerajaan adalah terhadap infrastruktur awam melibatkan sekolah daif, hospital dan sistem penjagaan kesihatan, jalan raya, pengangkutan awam, lapangan terbang, kemudahan komersial, pusat penjaja, tapak pelancongan dan sambungan internet.
“Kerajaan bukan hanya beri tumpuan terhadap pelaksanaan projek berskala besar yang mengayakan golongan tauke, sebaliknya turut beri tumpuan terhadap projek yang beri manfaat ekonomi kepada rakyat awam,” jelasnya.
Beliau turut memberitahu, pelaksanaan projek City Link Skybridge akan membantu menjadikan Johor Bahru sebagai bandar raya mesra pejalan kaki.
“Projek ini dibangunkan secara kerjasama antara kerajaan dan swasta melibatkan peruntukan berjumlah RM30 juta dengan jambatan sepanjang 280 meter akan memudahkan perjalanan dari Coronation Square ke JB Sentral dengan mengambil masa empat minit sahaja.
“Kerajaan Persekutuan terus memberi fokus terhadap pembangunan negeri Johor kerana jika Johor demam, satu Malaysia akan sakit,” jelasnya. – UTUSAN










