PETALING JAYA: Mah Sing Group Berhad (Mah Sing) yakin mencapai sasaran jualan 2023 sebanyak RM2.2 bilion jualan hartanah, setelah meraih jualan RM600.6 juta pada suku pertama 2023, dipacu kejayaan Siri M dan prospek pasaran hartanah yang baik dengan harga mampu milik.
Semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-31 Mah Sing hari ini, pihak pengurusan memberi taklimat pemegang saham mengenai inisiatif Mah Sing, tinjauan pasaran, prestasi operasi, dan strategi – semuanya dijalankan melalui penstriman langsung.
Mah Sing terus mengekalkan kecairan yang kukuh dan kedudukan kunci kira-kira bersih dengan penggearan yang rendah 0.2x pada 31 Mac 2023.
Jumlah dana pemilikan kosong (VP) daripada hartanah siap untuk 2023 dan 2024 masing-masing berjumlah kira-kira RM500 juta dan RM440 juta, yang sepatutnya meningkatkan kedudukan tunai kumpulan.
Wang tunai terkini dan baki bank dan dana jangka pendek pelaburan adalah kira-kira RM900.6 juta setakat ini.
Kumpulan mempunyai usaha pemerolehan tiga pengambilalihan tanah baharu dengan anggaran gabungan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) kira-kira RM4.5 bilion pada separuh pertama 2023.
Dengan itu, simpanan tanah utama Mah Sing meningkat kepada 2,418 ekar, dengan jumlah baki GDV dan jualan belum dibil sebanyak RM26.86 bilion.
Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, jualan RM600.6 juta pada suku pertama 2023 adalah 33.5 peratus lebih tinggi, meningkat berbanding yang direkodkan pada suku pertama 2022.
“Memandangkan kita memasuki separuh kedua 2023, Mah Sing terus komited tumpuan strategik pada Siri M.
“Pelancaran akan datang termasuk M Nova di Kepong dengan harga permulaan indikatif RM318,000; M Minori di Taman Seri Austin di Johor Bahru (RM260,000); M Senyum di Salak
Tinggi (RM530,000); rumah dua tingkat di Meridin East di Johor Bahru (RM446,000) M Panora di Rawang (RM659,700) dan M Sinar di Southville City, Bangi (RM270,000),” katanya.
Tambah beliau, Siri M berbeza berdasarkan harga yang menarik, reka bentuk praktikal dan lokasi strategik dalam komuniti yang mantap, menyediakan akses mudah ke kemudahan dan ketersambungan.
“Pendekatan yang mengutamakan pelanggan ini telah menarik perhatian pembeli rumah dan memberi keyakinan kepada kami untuk mencapai sasaran jualan RM2.2 bilion tahun ini,” ujarnya. – UTUSAN