KUALA TERENGGANU: Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc) merancang membangunkan sebuah loji tenaga solar fotovoltaik terapung bernilai lebih RM1 bilion di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, loji tenaga solar itu bakal dibina selepas kajian dan penerokaan pembangunan projek yang bermula tidak lama lagi siap dalam tempoh kira-kira setahun.
Menurutnya, kajian dan penerokaan pembangunan projek akan dilakukan oleh syarikat pelaburan induk strategik kerajaan negeri, Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc) dengan kerjasama TNB Power Generation Sdn. Bhd. (TNB Genco).
“Pembinaan projek tersebut akan melibatkan beberapa syarikat kerajaan negeri atau pelabur dari dalam dan luar negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Terengganu Inc dan TNB Genco bagi mengkaji dan menerokai pembangunan loji tenaga solar fotovoltaik terapung di Tasik Kenyir di sebuah hotel di sini, semalam.
Pada majlis itu, Terengganu Inc diwakili Presiden dan Pengarah Eksekutifnya, Burhanuddin Hilmi Mohamed@ Harun manakala TNB Genco diwakili Pengarah Urusannya, Datuk Nor Azman Mufti.
Ahmad Samsuri yang juga Pengerusi TI memberitahu, projek pembinaan loji tenaga solar terapung itu akan melibatkan kawasan seluas 2,000 hektar di tasik tersebut.
“Tempat-tempat yang tidak diguna di dalam tasik tersebut dan berpotensi akan dibangunkan dengan projek itu,” ujarnya
Tasik Kenyir merupakan tasik buatan dengan keluasan 38,000 hektar dan merupakan terbesar di Asia Tenggara. – UTUSAN










