LBS agih dividen saksama untuk pemegang saham

LBS agih dividen saksama untuk pemegang saham

LIM HOCK SAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: LBS Bina Group mengumumkan bahawa pemegang sahamnya telah meluluskan kesemua 13 resolusi biasa, termasuk agihan dividen akhir satu peringkat sebanyak 1.25 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, yang dibentangkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan Ke-23 syarikat itu secara maya hari ini.

Jelasnya, mengambil kira dividen interim pertama 1.20 sen sesaham yang diumumkan pada 19 April lalu, jumlah dividen untuk tahun kewangan 2022 adalah sebanyak 2.45 sen sesaham.

“Dividen interim pertama dan dividen akhir akan dibayar pada 17 Julai 2023 dan 14 September 2023 masing-masing kepada pemegang saham yang tersenarai di dalam Rekod Pendeposit LBS pada 30 Jun 2023 dan 30 Ogos 2023,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, pihaknya berbesar hati memuktamadkan AGM itu dengan kesemua resolusi telah diluluskan dan merakamkan ucapan penghargaan kepada para pemegang saham.

Beliau berkata, LBS menjangkakan pasaran hartanah akan berkembang dalam trajektori positif dengan peningkatan permohonan pinjaman di samping pelancaran yang lebih strategik dan terancang pada tahun ini.

“Susulan dari itu, kami telah melancarkan projek bernilai RM1.4 bilion dan dalam perancangan untuk melancarkan projek dengan nilai anggaran RM2.09 bilion di seluruh Lembah Klang, Johor, Pahang dan Perak. Kami akan terus mengekalkan perspektif yang optimis pada pasaran hartanah,” katanya.

Tambah beliau, LBS juga akan menggunakan strategi yang betul selaras dengan situasi pasaran semasa dan akan terus konsisten memainkan peranan di dalam memacu pemulihan pasaran hartanah.

“Harapan kami untuk terus mengharungi separuh kedua tahun 2023, dengan meningkatkan nilai pemegang berkepentingan sekaligus berusaha untuk mencapai pertumbuhan perniagaan yang lestari, dan membawa LBS ke peringkat yang lebih tinggi,” tambah beliau.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN