PETALING JAYA: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menggesa kerajaan melaksanakan pembaharuan yang lebih menyeluruh bagi peruntukan dana projek infrastruktur berskala kecil.
Ia susulan pengumuman oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Rafizi Ramli baru-baru ini bahawa orang awam kini boleh membuat permohonan untuk projek infrastruktur berskala kecil secara langsung daripada pihak kerajaan serta tidak perlu lagi melalui proses permohonan yang merangkumi pelbagai lapisan dan mengambil masa yang lama untuk diluluskan.
Bagaimanapun, IDEAS berkata, berdasarkan kepada laporan pihak media, tiada penjelasan lanjut tentang peruntukan yang dimaksudkan dan jumlah peruntukan yang tersedia pada tahun ini.
“Salah satu peruntukan yang tersedia untuk projek infrastruktur berskala kecil adalah peruntukan kepada ahli-ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan juga dikenali sebagai Constituency Development Fund (CDF).
“Peruntukan ini tidak sepenuhnya telus apabila jumlah peruntukan untuk setiap kawasan Parlimen atau DUN dan mekanisme pembahagian peruntukan ditentukan sepenuhnya oleh Perdana Menteri dan Ketua Menteri/Menteri Besar untuk peringkat negeri.
“Kerajaan yang memerintah memiliki kuasa penuh dalam memutuskan jumlah pembahagian peruntukan CDF dan natijahnya, kawasan ahli Parlimen kerajaan mendapat peruntukan yang lebih banyak secara tidak adil,” kata kenyataan itu.
Mengulas lanjut, Timbalan Pengarah Penyelidikan IDEAS, Sri Murniati Yusuf berkata, pihaknya menyambut baik inisiatif tersebut kerana hal ini adalah langkah signifikan dalam memperkasakan belanjawan yang mengutamakan penyertaan orang ramai.
“Bagaimanapun, sumber peruntukan ini memerlukan pencerahan. Jika Menteri merujuk kepada CDF, beliau perlu menggabungkan langkah pembaharuan lain yang akan menambah baik ketelusan dan kesaksamaan CDF berbanding hanya memasukkan mekanisme penyertaan awam,” ujarnya.
Selain itu, Sri Murniati menegaskan, walaupun tindakan Menteri yang berikhtiar untuk mempromosikan proses demokratik yang lebih inklusif disambut sebagai perubahan yang positif, IDEAS berpendapat penglibatan awam untuk projek infrastruktur skala kecil perlu dilakukan pada peringkat tempatan menerusi kerajaan tempatan.
“Mengikut cadangan laporan IDEAS, projek-projek infrastruktur kecil ini perlu diketuai oleh pihak kerajaan tempatan yang boleh mengawasi serta mengambil tanggungjawab penuh ke atas projek-projek infrastruktur kecil ini, berbanding pihak Unit Perancangan Ekonomi (EPU) iaitu sebuah entiti di bawah Pejabat Perdana Menteri.
“Bagi perancangan jangka masa panjang, kerajaan harus memperkenalkan semula pilihan raya kerajaan tempatan bagi memastikan pihak berkuasa tempatan ini boleh mengambil tanggungjawab secara langsung terhadap kawasan Parlimen dan DUN,” katanya. – UTUSAN










