Lahirkan generasi baharu penanam

Lahirkan generasi baharu penanam

MAD Zaidi Mohd Karli @ Sukari merasmikan Pembukaan Persidangan Peladang Antarabangsa (IPC2023) di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadilah Yusof berkata, pelan tindakan perlu dibentuk bagi mengekalkan bakat sedia ada selain menarik generasi baharu penanam untuk menjadi penggerak kemajuan industri perladangan negara.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, industri perladangan negara bakal berhadapan kekurangan penanam berpengalaman serta berkelayakan pada masa hadapan.

Ini kerana katanya, sebahagian penanam akan bersara dan ada juga yang mencari ‘padang rumput lebih hijau’ di negara lain.

“Kesannya, sektor perlada­ngan bakal berhadapan kekura­ngan penanam berkelayakan untuk mengendalikan industri yang strategik ini,” katanya me­rasmikan Persidangan Penanam Antarabangsa Ke-10 (IPC 2023) di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi, Datuk Mad Zaidi Mohd Karli@Sukari.

Menurut Fadilah, semua pihak harus memainkan pe­ranan memandangkan usaha itu memerlukan kerjasama berpa­sukan dalam mencari penyelesaian demi kelangsungan industri perladangan negara.

Jelasnya, pihak kementerian telah menyediakan pelbagai platform dan mekanisme untuk pihak berkepentingan berkongsi idea, pengetahuan dan maklum balas mengenai pembentukan dasar dan garis panduan yang mampu memacu industri ber­kenaan.

“Kami memerlukan persetujuan dan konsensus untuk bergerak ke hadapan dalam mencapai matlamat dengan Persatuan Penanam Diperbadankan (ISP) memainkan peranan aktif dalam pembentukan dasar dan garis panduan.

“Saya faham, antara inisiatif utama diterajui oleh ISP selama ini ialah peningkatan kemahiran dan kemahiran semula penanam melalui peperiksaan profesional.

“Industri mengiktiraf kelayakan ini sebagai laluan untuk pertumbuhan pekebun dan kemajuan kerjaya dan saya ucapkan tahniah kepada ISP kerana memberi penekanan khusus untuk pembangunan sumber manusia dalam industri perladangan,” katanya.

Mengulas lanjut Fadilah berkata, seiring dengan Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), kerajaan berharap penanam dapat dilengkapi de­ngan pengetahuan, kemahiran dan pengetahuan digital terkini yang boleh dipraktikkan untuk mengatasi semua isu dan cabaran dalam industri.

Beliau berkata, memandang­kan kerajaan telah bersetuju untuk mengehadkan jumlah kawasan tanaman sawit, tanggungjawab adalah pada pena­nam bagi meningkatkan produktiviti melalui amalan pertanian baik, bahan penanaman genomik baharu, mekanisasi dan automasi.

“Kementerian akan mengambil bahagian dengan skim dan peraturan yang berdaya maju untuk memastikan penyesuaian teknologi untuk meningkatkan produktiviti.

“(Dalam konteks ini) Konsortium Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi Sawit (MARCOP) boleh memainkan aktif untuk merealisasikan matlamat ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN