PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilihat lebih mengutamakan dividen atau pengembangan perniagaan daripada pembelian semula saham.
Memetik laporan The Edge, KWSP telah mengundi bagi menentang cadangan skim pembelian semula saham dalam tujuh syarikat yang mengisytiharkan dividen lebih rendah pada 2022.
Tujuh syarikat terbabit adalah, MR D.I.Y. Group (M) Bhd., Malakoff Corp Bhd., CTOS Digital Bhd., Genting Plantations Bhd,, Pentamaster Corp Bhd., IHH Healthcare Bhd. dan Tan Chong Motor Holdings Bhd.
Dana pencen itu juga dikatakan bakal mengundi menentang resolusi pembelian balik saham Sunway Construction Group Bhd pada AGM bertarikh 19 Jun ini.
KWSP mendedahkan di laman webnya bahawa rasional penentangan cadangan skim pembelian balik saham syarikat itu adalah wang tunai perlu digunakan untuk dividen yang lebih tinggi.
Katanya, ia bertujuan memberi pulangan dividen kepada pemegang saham atau untuk pengembangan perniagaan bagi pertumbuhan yang lebih baik.
KWSP tidak mempunyai polisi menyeluruh terhadap aktiviti pembelian balik saham dan kumpulan itu telah mengundi untuk cadangan skim pembelian balik saham dalam beberapa syarikat.
Antaranya adalah VS Industry Bhd., Fraser & Neave Holdings Bhd. (F&N), Kuala Lumpur Kepong Bhd. (KLK), CIMB Group Holdings Bhd., MISC Bhd., United Plantations Bhd., UOA Development Bhd., MBM Resources Bhd., Kerjaya Prospek Group Bhd. dan Oriental Holdings Bhd.
Menurut data yang dikumpulkan oleh The Edge, F&N, MISC, KLK, UOA dan Oriental mengekalkan pembayaran dividen masing-masing bagi Tahun Kewangan 2022 (TK2022).
Bagi CIMB, MBM, United Plantations dan Kerjaya Prospek pula membayar dividen lebih tinggi pada tahun tersebut, namun VS Industry, sebaliknya, secara konsisten mengisytiharkan dividen melebihi RM1, walaupun pembayarannya lebih rendah pada TK2022.
KWSP mempunyai kepentingan yang besar melebihi lima peratus dalam kira-kira 80 syarikat di Bursa Malaysia. – UTUSAN










