PETALING JAYA: Kumpulan UMW mencatatkan peningkatan jualan kenderaan sebanyak 28 peratus pada Mei kepada 32,703 unit berbanding 25,641 unit bulan sebelumnya.
Syarikat itu, UMW Toyota Motor (UMWT) merekodkan jualan sebanyak 8,004 unit, 18 peratus lebih tinggi daripada 6,767 unit yang dicatatkan pada April.
Katanya, bagi lima bulan pertama tahun ini, UMWT mencatatkan jualan sebanyak 39,990 unit, pertumbuhan sebanyak lapan peratus berbanding 36,972 unit tempoh yang sama tahun sebelumnya.
“Sehingga Mei, bahagian pasaran UMWT mencapai 13.3 peratus. Untuk mengukuhkan lagi barisan modelnya, UMWT memperkenalkan Lexus RX 350 serba baharu pada 17 Mei, dan mendapat tempahan menggalakkan.
“Untuk mengukuhkan lagi buku pesanan, UMWT telah melancarkan kempen jualan ‘Toyota Extra Mile’ untuk Jun 2023. Ia menawarkan promosi istimewa serta pilihan pembiayaan Toyota EZ Beli untuk pembelian model Toyota terpilih,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, jualan Perodua pula melonjak kepada 24,699 unit, peningkatan sebanyak 31 peratus berbanding 18,874 unit pada April, melebihi jumlah keseluruhan pertumbuhan industri (TIV).
Jelasnya, jualan Perodua yang kukuh disumbangkan oleh peningkatan dalam pengeluaran dan operasi penjualan.
“Bagi lima bulan pertama 2023, Perodua mencatatkan jualan sebanyak 122,137 unit, 15 peratus lebih tinggi daripada 106,179 unit yang dicatatkan tempoh sama 2022.
“Untuk tempoh sama, bahagian pasaran Perodua telah meningkat kepada 40.6 peratus daripada 39.1 peratus tahun sebelumnya. Perodua dijangka akan terus memenuhi tempahan tertunggaknya,” jelas syarikat itu.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings Berhad, Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata, pihaknya berbesar hati dengan jualan yang didaftarkan oleh UMWT dan Perodua kerana permintaan kekal menggalakkan.
“Setakat ini, kedua-dua syarikat juga telah mencatatkan jualan lebih tinggi berbanding tempoh sama 2022. TIV juga meningkat sebanyak 12 peratus untuk lima bulan pertama tahun ini.
“Kumpulan akan terus memperkenalkan model baharu yang kompetitif dan menarik untuk memenuhi keperluan pelanggan,” jelasnya. – UTUSAN










