PETALING JAYA: Kerajaan memperkenalkan dua strategi utama iaitu memboleh daya modal indan dan menambah baik tadbir urus kerajaan tempatan bagi memperkasa dan mempertingkatkan kualiti sistem penyampaian perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Negara Kerajaan Tempatan (MNKT) Ke-80 dipengerusikan Timbalan Perdama Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof di Parlimen, semalam. Ia turut dihadiri Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Menteri Besar, Exco Kerajaan Negeri, Menteri-menteri berkaitan dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Pada mesyuarat itu, sebanyak tujuh kertas telah dibentangkan merangkumi empat kertas pertimbangan dan tiga kertas makluman.
Menurut Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), MNKT Ke-80 telah menggariskan strategi bagi memboleh daya modal insan melalui penubuhan sebuah jawatankuasa di bawah Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bagi membolehkan pegawai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ditempatkan ke PBT yang lain.
Cadangan ini dibentangkan oleh KPKT bertujuan memperkasa penyampaian perkhidmatan Kerajaan Tempatan melalui peningkatan aspek pengalaman, akauntabiliti dan kredibiliti pegawai PBT.
“Di bawah strategi yang sama, Profesional JKR diberi penarafan sebagai badan profesional yang mewakili Kerajaan bagi mendapatkan Sijil Perakuan dan Pematuhan (CCC) bagi bangunan yang dibina secara kaedah konvensional dalaman JKR. Ianya juga bertujuan menambah baik aspek keselamatan supaya semua bangunan Kerajaan yang terlibat akan mempunyai CCC dan seterusnya memenuhi prasyarat bagi memperoleh Sijil Perakuan Bomba serta dapat diinsuranskan,” katanya dalam kenyataan
Bagi strategi penambahbaikan proses dan prosedur di peringkat Kerajaan Tempatan, inisiatif Penambahbaikan dan Pengukuhan Kecekapan Proses dan Prosedur OSC 3.0 Plus dan Kelulusan Pelan Pemajuan akan dilaksanakan bagi memendekkan tempoh kelulusan Pelan Pemajuan serta Kebenaran Merancang, jelasnya.
Tambahnya, mesyuarat juga telah bersetuju dengan Cadangan Pindaan Jadual Kedua, Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) bagi membolehkan penganjuran Mesyuarat Agung Tahunan, Mesyuarat Agung Luar Biasa dan Mesyuarat Jawatankuasa Perbadanan Pengurusan di kawasan pemajuan berstrata turut dilaksanakan berasaskan norma baharu.
Kerajaan juga melalui Kementerian Kerja Raya turut bersetuju dengan penambahbaikan mekanisme pemantauan kualiti pembinaan di samping menambah baik mekanisme pemantauan sedia ada Sistem Binaan Berindustri [Industrilised Building System (IBS)] melalui Cadangan Pengukuhan Mekanisme Pelaksanaan Sistem Binaan Berindustri Dalam Industri Pembinaan bagi Sektor Swasta yang menekankan penetapan 70 skor IBS.
“Mesyuarat juga mengambil maklum berhubung Garis Panduan Taman Eko Sisa yang dibangunkan oleh KPKT sebagai panduan dan rujukan oleh Pihak Berkuasa Negeri/Pihak Berkuasa Tempatan bagi mempertimbang permohonan berkaitan pembangunan Taman Eko Sisa dalam mewujudkan ekosistem yang kondusif ke arah ekonomi kitaran.
“Mesyuarat turut mengambil maklum Prosedur Pemotongan Bekalan Elektrik ke atas Premis yang Melanggar Akta Kerajaan Tempatan 1976 [Akta 171] dan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC). Prosedur ini akan membolehkan pihak PBT menutup bekalan elektrik bagi mengekang atau mengurangkan aktiviti di premis-premis yang melakukan kesalahan di bawah Akta 171 atau Akta 172,” katanya. – UTUSAN










