PETALING JAYA: Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) melabur dalam syarikat teknologi insurans tindanan penuh tempatan, PolicyStreet untuk meningkatkan perlindungan di pasaran kurang tumpuan di Malaysia.
Pelaburan dibuat di bawah mandat Dana Impak yang menerajui pusingan pengumpulan dana Siri B syarikat itu, di mana dana berjumlah AS$15.3 juta (RM67 juta) berjaya dikumpulkan.
Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, Dana Impak adalah komitmen Khazanah terhadap pelaburan strategik bagi meningkatkan daya saing ekonomi Malaysia dan membina daya tahan negara, serta penyampaian faedah dan impak sosioekonomi kepada rakyat Malaysia.
Menurut beliau, pelaburan Khazanah dalam PolicyStreet menyasarkan peningkatan penembusan insurans dalam segmen yang tidak mendapat tumpuan dan kurang mendapat tumpuan bagi menyokong keterangkuman, menyediakan perlindungan kewangan yang lebih baik, meningkatkan daya tahan isi rumah dan kesejahteraan kewangan.
“Kami akan terus melabur dalam penyedia penyelesaian yang inovatif dan berkesan yang memanfaatkan teknologi dan inovasi produk untuk menyumbang kepada negara. Ini sejajar dengan komitmen kami untuk memacu ekosistem permulaan tempatan melalui Future Malaysia Programme, sebagai sebahagian daripada imperatif strategik kami,” katanya dalam kenyataan.
Dana Impak adalah peruntukan RM6 bilion bagi tempoh lima tahun dan merupakan tonggak utama di bawah strategi Memajukan Malaysia (Advancing Malaysia) Khazanah, dengan matlamat untuk meningkatkan daya saing ekonomi Malaysia, membina daya tahan negara, serta memberikan impak sosioekonomi kepada rakyat Malaysia.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama PolicyStreet, Yen Ming Lee berkata, PolicyStreet komited untuk memperkasakan perniagaan dan pengguna dengan insurans di bawah nilai pasaran dengan menyediakan penyelesaian insurans yang mudah diakses.
“Dengan lebih setengah juta pekerja gig B40 dan 50,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sudah mendapat manfaat daripada perkhidmatan ini, kami menyasarkan untuk memberi perkhidmatan kepada 2.5 juta pekerja gig dan 300,000 PKS dalam tempoh lima tahun akan datang, mewujudkan masa depan yang lebih inklusif dari segi kewangan untuk komuniti di Malaysia dan rantau ini,” jelas beliau.
Pusingan pengumpulan dana PolicyStreet baru-baru ini juga mendapat sokongan padu daripada pelabur tempatan dan antarabangsa yang lain, termasuk Altara Ventures, Gobi Partners dan Spiral Ventures.
PolicyStreet bercadang menggunakan dana untuk mengukuhkan teknologi dan keupayaan pengunderaitannya. Melalui pengkhususan dalam penyelesaian insurans tersuai untuk perniagaan dan pengguna, PolicyStreet menyasarkan untuk meningkatkan polisi pengunderaitan atas permintaannya untuk menjadikan perlindungan lebih mudah diakses dan memanfaatkan segmen pelanggan yang kurang diberi tumpuan dan berinsurans di bawah nilai pasaran di rantau ini. – UTUSAN










