KUALA LUMPUR: Kerajaan mahu mewujudkan ekosistem pelaburan dana teroka yang fokus kepada syarikat pemula peringkat awal dan pelabur ‘angel’ sejajar dengan rancangan menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat digital serantau.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, rundingan sedangan diadakan antara 20 agensi daripada tiga kementerian bagi mewujudkan satu pendekatan tetingkap tunggal untuk pemilik serta syarikat pemula niaga perniagaan teknologi.
Beliau berharap dapat mencapai penjelasan yang lebih lanjut dan pengumuman melibatkan sejumlah pelaburan dapat dibuat menjelang akhir tahun ini.
“Memang rancangan kami untuk memasarkan Kuala Lumpur sebagai pusat digital serantau dan satu bidang yang kami rasa kuat adalah cara mendapatkan wang dan memfokuskan pada syarikat pemula peringkat awal dan ‘angel’.
“Jika membuat rancangan yang betul dan semua agensi dalam ekosistem dapat bekerjasama, maka negara akan dapat `mengejar’ semula negara jiran.
“Kita boleh membalikkan keadaan sekarang di mana kita melihat pelabur atau syarikat permulaan digital pergi ke Singapura atau Indonesia dan melarikan diri daripada kita (Malaysia),” katanya pada Malaysia Venture Capital Management Berhad (MAVCAP) Ilham Talk di Menara Ilham di sini.
Rafizi berkata, walaupun terdapat jurang antara negara dengan negara jiran, perkara tersebut masih boleh diperbaiki.
“Oleh itu, kerajaan mahu setaraf Singapura dan Jakarta dari segi syarikat pemula dan menjadi hab pilihan kepada pelabur digital,” ujarnya.
Tambah beliau, perkara tersebut boleh dicapai dari segi pentadbiran dan perundangan untuk memudah cara melalui pendekatan tetingkap tunggal yang sedang diusahakan tersebut. – UTUSAN










