PETALING JAYA: Kenanga Research mengekalkan saranan ‘overweight’ ke atas sektor bahan binaan, terutamanya aluminium berikutan jangkaan harga aluminium yang menggalakkan disebabkan oleh kekangan bekalan.
Penganalisisnya Teh Kian Yeong berkata, harga aluminium yang lebih tinggi boleh memberi petanda baik kepada Press Metal Aluminium Holdings Bhd.
Katanya, OM Holdings Ltd juga bakal meraih faedah kelebihan kos struktur berbanding rakan setara global berikutan aksesnya kepada kuasa hidro kos efektif melalui kontrak jangka panjang sehingga 2033.
“Sebaliknya, pemain keluli menghadapi cabaran dengan permintaan domestik yang lemah di China, terutamanya disebabkan pasaran hartanah yang lembap di sana,
“Oleh itu, pengeluar keluli seperti Ann Joo Resources Bhd, United ULI Corp Bhd. dan Engtex Group Bhd akan terus mengalami tekanan margin,” katanya dalam nota penyelidikan.
Sementara itu, beliau berkata, bagi Engtex, kontrak penggantian paip akan mendapat momentum dalam tempoh terdekat, sekali gus merangsang permintaan dan memupuk pertumbuhan pendapatan.
Kian Yeong berkata, perkara yang sama tidak boleh ditujukan untuk harga keluli kerana permintaan bagi kedua-dua keluli panjang dan rata kekal tidak memberangsangkan.
“Ini berikutan pengeluaran yang berlebihan dan pasaran hartanah yang lembap di China manakala pelancaran projek pembinaan dan infrastruktur tidak begitu kukuh seperti yang dijangkakan.
“Secara realistik, kami percaya peningkatan dalam sektor hartanah hanya boleh dilihat pada akhir 2023 didorong oleh langkah sokongan kerajaan.
“Jika China memutuskan untuk memulakan ‘pump priming’ yang mengakibatkan kebangkitan dalam aktiviti pembinaan, terdapat kemungkinan harga keluli mengalami pemulihan beransur-ansur,” ujarnya.
Oleh itu, beliau menjangka Ann Joo Resources dengan harga sasaran (TP) 75 sen dan ULI Corp (TP: RM1.15) akan terus menghadapi kemampatan margin apabila harga jualan purata (ASP) keluli terus jatuh.
Tambahnya, Engtex pula akan mendapat manfaat daripada pemulihan projek air di seluruh negara apabila kerajaan perpaduan baharu memulakan pelancaran projek infrastruktur awam. – UTUSAN










