PETALING JAYA: Jumlah kekayaan taikun yang disenaraikan sebagai 50 individu terkaya Malaysia 2023 oleh Forbes meningkat kepada AS$81.6 bilion (RM376 bilion) daripada AS$80.5 bilion (RM355 bilion) tahun lalu.
Pengasas Kuok Group, Tan Sri Robert Kuok yang bakal memasuki usia 100 tahun pada Oktober ini masih mengekalkan kedudukannya sebagai individu paling kaya di negara ini dengan kekayaannya sebanyak dua angka berjumlah AS$11.8 bilion (RM54 bilion).
Forbes Asia dalam satu kenyataan memaklumkan, selepas meningkat 8.7 peratus pada 2022 berikutan pemulihan dalam perbelanjaan pengguna domestik, ekonomi Malaysia dijangka berkembang pada kadar yang lebih sederhana tahun ini.
“Di sebalik kebangkitan semula pasca-pandemik negara, pasaran saham jatuh 8.0 peratus sejak kali terakhir diukur dan ringgit juga turun hampir 2.0 peratus,” katanya.
Seorang lagi individu terkaya dengan jumlah kekayaan dua angka adalah Pengerusi Hong Leong, Tan Sri Quek Leng Chan yang berada di tempat kedua selepas Kuok dengan jumlah AS$10.2 bilion (RM47 bilion).
Secara keseluruhan, seramai 19 individu terkaya Malaysia meningkat dan hampir separuh menurun.
Tan Sri Koon Poh Keong dan adik beradiknya yang mengawal syarikat aluminium Press Metal Bhd kekal di tempat ketiga namun kekayaan mereka menurun sebanyak 7.0 peratus kepada AS$5.8 bilion (RM26 bilion) berbanding AS$6.2 bilion (RM27.2 bilion) tahun lalu sejajar dengan kejatuhan saham syarikat mereka.
Mengambil tempat keempat ialah Ananda Krishnan yang mempunyai kepentingan dalam syarikat telekomunikasi, Maxis Bhd, dengan nilai bersihnya meningkat AS$400 juta (RM1,847 juta) kepada AS$5.4 bilion (RM24.9 bilion).
Sementara itu, duo bapa dan anak Yaw Teck Seng dan Chee Ming, yang mengawal syarikat gergasi kayu Samling muncul sebagai individu yang mendapat keuntungan paling banyak selepas kekayaan mereka meningkat dua kali ganda kepada AS$1.25 bilion (RM5.7 bilion) sekaligus melonjak kedudukan mereka dari tangga ke-32 ke tangga ke-16.
Bekas guru matematik, Chia Song Kun yang juga Pengerusi Eksekutif firma makanan laut keluarganya QL Resources, kembali dalam senarai selepas tujuh tahun di kedudukan ke-10 dengan nilai kekayaan AS$1.8 bilion (RM8 bilion).
Senarai 10 individu terkaya di Malaysia
- Robert Kuok (AS$11.8 bilion)
- Quek Leng Chan (AS$10.2 bilion)
- Koon Poh Keong & adik-beradik (AS$5.8 bilion)
- Ananda Krishnan (AS$5.4 bilion)
- Teh siblings (AS$5.2 bilion)
- Lee Yeow Chor & Yeow Seng (AS$4.6 bilion)
- Chen Lip Keong (AS$2.8 bilion)
- Lim Kok Thay (AS$2.3 bilion)
- Tan Yu Yeh & Yu Wei (AS$1.9 bilion)
- Chia Song Kun (AS$1.8 bilion)