KUALA LUMPUR: Perlu ada penyelarasan antara kerajaan dan sektor kewangan bagi mempercepatkan pembangunan lestari ke arah ekonomi yang lebih baik dan lebih hijau, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Beliau berkata, kerajaan telah dan sedang melaksanakan pelbagai indikator dalam membantu negara berkembang maju dalam revolusi Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Menurut beliau, tidak wajar sekiranya tanggungjawab terhadap kelestarian diletakkan semata-mata kepada negeri dan individu sedangkan ia memerlukan komitmen yang kuat, berterusan dan kolektif dari pelbagai pihak.
Justeru itu, Nik Nazmi berkata, institusi perbankan Malaysia perlu mendahului dalam menerima dan melaksanakan kelestarian sama ada melalui operasi, produk yang ditawarkan dan jenis perniagaan yang mereka biayai.
“Bank kita perlu ‘melestarikan kewangan dan membiayai kelestarian’ di samping berhati-hati dalam menerima perubahan agar tidak didorong oleh keuntungan semata-mata.
“‘Greenwashing’ yang merangkumi kelestarian secara dangkal tanpa bertindak mengikut apa yang diperlukan, mesti dijaga,” katanya ketika berucap pada Edisi Kedua Persidangan Perbankan Malaysia (MBC) – Perbankan dan Revolusi ESG: Melangkaui Aspirasi di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Nik Nazmi berkata, industri juga memerlukan modal insan yang boleh membawanya ke dalam revolusi ESG dan
Mengulas lanjut Nik Nazmi berkata, industri juga memerlukan modal insan yang boleh membawanya ke dalam revolusi ESG dan dan amat penting untuk menyediakan bakat kukuh dalam kalangan jurubank yang mampu memastikan kelestarian, keboleh suaian dan pertumbuhan negara.
“Oleh itu, saya gembira melihat pemain industri seperti Institut Pengurus Bank Berkanun Asia (AICB) dan Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM) bersatu untuk bekerjasama dan menyokong industri dalam perjalanan ESG mereka dan menangani pelbagai dasar dan isu pembinaan kapasiti secara kolektif.
“Pendekatan kolaboratif seperti ini akan membantu kita bergerak ke hadapan bukan sahaja sebagai industri tetapi sebagai sebuah negara,” katanya.
Sementara itu, edisi kedua MBC yang dianjurkan secara bersama oleh AICB dan ABM menampilkan perbincangan berwawasan, perdebatan menarik dan perkongsian pengetahuan yang meluas berkenaan inisiatif ESG.
Ia turut mengetengahkan cabaran utama yang dihadapi oleh institusi kewangan, serta peluang untuk membangunkan penyelesaian yang praktikal dan berkesan kepada pengurusan pembiayaan dan risiko peralihan untuk mempercepat transformasi kepada ekonomi karbon rendah dan lebih lestari. – UTUSAN