Inflasi Malaysia terus mereda kepada 2.8 peratus pada Mei

Inflasi Malaysia terus mereda kepada 2.8 peratus pada Mei

RESTORAN antara penyumbang kepada kenaikan kadar inflasi. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Inflasi Malaysia terus mereda kepada 2.8 peratus pada Mei 2023 dengan mata indeks mencatatkan 130.2 berbanding 126.6 pada bulan yang sama tahun sebelumnya, menurut laporan Indeks Harga Pengguna (IHP) Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

DOSM berkata, kenaikan inflasi negara masih kekal didorong oleh kenaikan lebih tinggi restoran dan hotel iaitu 6.7 peratus berbanding 6.6 peratus pada April 2023.

Namun, katanya, peningkatan perlahan berbanding bulan sebelumnya bagi beberapa kumpulan seperti makanan dan minuman bukan alkohol, 5.9 peratus (April 2023: 6.3 peratus); pengangkutan, 1.0 peratus (April 2023: 2.3 peratus) dan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah, 2.7 peratus (April 2023: 3.0 peratus).

“Ia sedikit sebanyak telah mengimbangi inflasi Malaysia daripada terus meningkat lebih tinggi.

“Wajaran bagi kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol (29.5 peratus), pengangkutan (14.6 peratus) serta restoran dan hotel (2.9 peratus) yang meliputi 47 peratus daripada wajaran keseluruhan IHP turut memberi impak ketara kepada kadar inflasi dan kos sara hidup,” katanya.

Selain itu, DOSM berkata, purata harga ayam standard di Semenanjung meningkat kepada RM9.92 sekilogram pada Mei 2023 berbanding RM9.23 sekilogram pada Mei 2022, melebihi paras harga kawalan yang ditetapkan kerajaan iaitu RM9.40 sekilogram.

“Sementara itu, purata harga ayam standard Malaysia meningkat kepada RM10.45 sekilogram berbanding RM9.70 sekilogram pada Mei 2022.

“Peningkatan pada subkumpulan ini turut didorong oleh peningkatan daging babi dan daging itik, masing-masing 28.1 peratus dan 7.4 peratus.

“Bagi perbandingan bulan ke bulan, kelas perbelanjaan daging segar meningkat kepada 0.6 peratus (April 2023: 0.4 peratus). Kenaikan ini disumbangkan oleh daging babi iaitu 1.8 peratus (April 2023: 0.7 peratus) dan daging lembu kepada 0.5 peratus pada Mei 2023 (April 2023: 0.2 peratus),” ujarnya.

Dalam pada itu, inflasi pengangkutan meningkat lebih perlahan kepada 1.0 peratus pada Mei 2023 berbanding 2.3 peratus pada April 2023.

“Antara faktor yang menyumbang kepada kenaikan perlahan ini ialah penetapan harga petrol tanpa plumbum RON97 yang lebih rendah iaitu RM3.35 seliter pada Mei 2023 berbanding RM4.26 seliter pada Mei tahun lalu..

“Namun, kelas perbelanjaan bagi pembaikan dan penyelenggaraan untuk pengangkutan persendirian merekodkan peningkatan 9.6 peratus pada bulan dilapor berbanding 10.6 peratus pada April 2023.

“Kenaikan ini disumbangkan oleh penyelenggaraan kereta dan motosikal yang meningkat kepada 10.8 peratus berbanding 12.5 peratus pada bulan sebelumnya,” ujarnya.

Bagi inflasi di peringkat negeri, sebanyak sembilan negeri merekodkan peningkatan di bawah paras nasional 2.8 peratus dengan Wilayah Persekutuan Labuan merekodkan peningkatan paling rendah sebanyak 1.2 peratus pada Mei 2023.

“Namun, tujuh negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Sarawak (3.5 peratus), Selangor (3.3 peratus), Perak (3.2 peratus), Wilayah Persekutuan Putrajaya (3.1 peratus), Pahang (3.1 peratus), Melaka (3.1 peratus) dan Sabah (3.0 peratus),” katanya.

Tambah kenyataan, inflasi keseluruhan secara bulanan pada Mei 2023 meningkat kepada 0.2 peratus berbanding 0.1 peratus pada bulan sebelumnya, disumbangkan terutamanya oleh Restoran dan hotel (0.6 peratus), makanan dan minuman bukan alkohol (0.5 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (0.5 peratus). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN