PETALING JAYA: Penyedia perkhidmatan instrumentasi geoteknikal Glostrext Berhad menandatangani Perjanjian Taja Jamin dengan M&A Securities Sdn. Bhd. untuk penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.
Tawaran awam permulaan (IPO) melibatkan Terbitan Awam sebanyak 105.83 juta saham baharu (saham terbitan), mewakili 26 peratus daripada modal saham Glostrext yang diperbesarkan dan tawaran untuk jualan sebanyak 16.28 juta saham sedia ada melalui Penempatan Persendirian kepada pelabur terpilih.
Daripada 105.83 juta saham terbitan, 20.35 juta saham terbitan akan disediakan kepada rakyat Malaysia melalui pengundian.
Selain itu, sebanyak 10.18 juta saham terbitan untuk Pengarah dan pekerjanya yang layak serta mereka yang telah menyumbang kepada kejayaan Glostrext di bawah Peruntukan Borang Merah Jambu manakala baki 75.30 juta saham terbitan dikhaskan untuk Penempatan Persendirian kepada pelabur terpilih.
Selaras dengan Perjanjian Taja Jamin itu, M&A Securities akan menaja jamin sejumlah 30.53 juta saham terbitan yang disediakan kepada rakyat Malaysia dan Peruntukan Borang Merah Jambu.
Pengarah Urusan Glostrext, Ir. Dr. Lee Sieng Kai berkata, pelaksanaan IPO akan membolehkan syarikat meneroka pasaran modal ekuiti untuk mengumpul dana bagi mengembangkan perniagaan instrumentasi dan pemantauan struktur dan tanahnya ke Singapura.
Ujarnya, ia akan menumpukan kepada mempromosikan perkhidmatan instrumentasi dan pemantauan struktur dan tanah di luar tapak menggunakan platform Glostrext WiNAnya.
“Tawaran itu adalah sejajar dengan tren semasa kerana banyak perniagaan dan syarikat kini memerlukan automasi untuk, antara lain, meningkatkan kecekapan operasi dan mengurangkan pergantungan kepada tenaga kerja.
“Dengan penyenaraian kami, dan memanfaatkan kejayaan dan kewujudan kami di Singapura serta pengalaman kami dalam penyediaan perkhidmatan instrumentasi dan pemantauan struktur dan tanah di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, pihaknya berhasrat untuk mengembangkan penawaran perkhidmatan syarikat di Singapura dengan menawarkan perkhidmatan instrumentasi dan pemantauan struktur dan tanah sebagai sebahagian daripada rancangan pertumbuhan dan pengembangan perniagaan.
“Ini juga selaras dengan keperluan mengenai instrumentasi struktur dan tanah serta pemantauan untuk semua pembinaan bangunan dan infrastruktur di Singapura yang diwajibkan pada 2008 di bawah Peraturan Kawalan Bangunan 2003.
“Kami percaya yang kami akan berada pada kedudukan yang baik untuk mendapat manfaat daripada keperluan ini untuk mendapat jualan dan mengembangkan lagi perniagaan kami di Singapura,” ujarnya. – UTUSAN










