TAMPIN: Syarikat Fraser & Neave Holdings Berhad (F&N) melabur RM1 bilion bagi fasa pertama pembangunan projek ladang tenusu integrasi terletak di Ladang Permai Damai, Gemas di sini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lim Yew Hoe berkata, pembukaan ladang tenusu integrasi seluas 2,726 hektar tersebut merupakan langkah syarikat untuk menjadi pengeluar susu segar terbesar di negara ini termasuk bagi eksport.
“Kami dijadualkan memulakan fasa pertama dengan penghasilan susu segar sebanyak 20 juta liter pada akhir tahun depan dan berkembang kepada pengeluaran penuh sebanyak 100 juta liter susu segar beberapa tahun kemudian.
“Selepas itu, pada fasa kedua akan menambah kapasiti sebanyak 100 juta liter susu segar yang memberikan jumlah keseluruhan 200 juta liter susu segar setahun.
“Ladang ini berupaya menempatkan sebanyak 20,000 ekor lembu susu yang menghasilkan 200 juta liter susu segar setahun untuk pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya sempena Majlis Pecah Tanah F&N Agrivalley Gemas di sini, semalam.
Majlis disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Yang hadir sama, Pengerusi Kumpulan F&N, Tengku Syarif Bendahara Perlis Syed Badarudin Jamalullail Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Zafir Ibrahim.
Dalam pada itu, Yew Hoe menambah, mengoperasikan ladang tenusu bersepadu akan menghasilkan integrasi menegak perniagaan dan operasi F&N serta mengurangkan kebergantungan syarikat kepada susu import untuk pengeluaran dan pengedaran hiliran.
“Penyepaduan ini juga akan membantu mengurangkan kos seliter susu segar, memberi manfaat kepada pengguna-pengguna di Malaysia. Kami juga menyasarkan untuk mengeksport susu segar dan berpotensi menjadikan Malaysia sebagai pengeksport susu segar pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Aminuddin berkata, projek ladang tenusu integrasi akan menyumbang kepada pewujudan 500 peluang pekerjaan baharu dan peluang perniagaan agro untuk komuniti tempatan setelah projek ini siap sepenuhnya pada 2027.
“Projek mega ini selari dengan hasrat dan aspirasi kerajaan Negeri Sembilan bagi merealisasikan konsep ‘Smart Agro’ untuk membangun sebuah kluster Agropolis seperti dalam Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2045,” tambahnya. – UTUSAN










